Saarani Mohamad. GAMBAR: Info Rakyat

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan mereka tidak bersetuju memberikan sebarang peranan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan bersama di Perak.

Katanya, kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mendakwa PN tidak mahu bertemu dengannya dan tidak bersetuju memberi peranan kepada BN dalam pembentukan kerajaan negeri sebagai satu penipuan besar.

“Kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad terhadap PN satu penipuan besar,” kataya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, berlaku pertemuan di antara Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi menubuhkan kerajaan negeri di Perak pada Ahad di Kuala Lumpur disaksikan Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Jelas Ahmad Faizal, pada pertemuan itu, Saarani berhasrat jawatan Menteri Besar Perak itu dikekalkan milik BN jika rundingan di antara PN dan BN itu berjaya.

“Saya juga telah menyatakan kebimbangan saya dengan keadaan di mana Kerajaan Negeri Perak belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera demi kepentingan rakyat.

“Saya tegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama namun, pihak beliau bertegas untuk PN menawarkan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, keputusan tidak dapat dicapai ketika itu kerana Saarani mahu merujuk kepada kepimpinan UMNO sebelum membuat sebarang persetujuan.

Katanya, bagaimanapun pada hari ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan bersama kepimpinan UMNO telah menyelamatkan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya.

Menurutnya, tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak adalah amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan yang dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli dengan penipuan kepada rakyat jelata.

Hari ini, Saarani mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15 selepas BN membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan sebanyak 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PN mendominasi kerusi DUN di Perak sebanyak 26 kerusi diikuti PH yang memenangi 24 kerusi dan BN pula hanya memenangi sembilan kerusi.