KEMUNCULAN pemuda yang berjalan masuk ke pentas menggunakan kedua belah tangannya bersama aktor popular Hollywood, Morgan Freeman dan turut melantunkan ayat suci al-Quran di acara pembukaan Piala Dunia Fifa 2022 di Doha semalam mencuri perhatian.

Bagi mereka di Tanah Arab, ramai yang mengenali sosok pemuda yang tidak mempunyai kaki itu. Pelantun ayat suci tersebut bernama Ghanim Al Muftah.

Berusia 22 tahun, Al Muftah merupakan seorang penceramah motivasi dengan kelainan upaya yang mempunyai pengikut yang ramai di media sosial terutamanya di Tanah Arab.

Beliau yang mempunyai 7 juta pengikut di Tik Tok, lebih 3 juta pengikut di Instagram dan hampir sejuta pengikut di Youtube telah dilantik sebagai duta Piala Dunia Fifa 2022 pada April yang lalu.

Al Muftah sepentas bersama Morgan Freeman di acara pembukaan FIFA 2022 di Doha, Qatar.
Al Muftah dilantik sebagai duta Piala Dunia FIFA 2022.

Al Muftah yang lahir di Qatar mengalami kecacatan yang jarang berlaku iaitu sindrom ‘caudal regression’ yang merupakan satu gangguan kongenital di mana janin di dalam kandungan tidak berkembang dengan sempurna di bahagian pinggang ke bawah. Hanya lebih kurang 25,000 orang di dunia yang mengalami sindrom begini.

Sewaktu Al Muftah dalam kandungan, ibunya pernah dinasihatkan untuk menggugurkan kandungannya kerana kacatatan janin tersebut. Tetapi, ibunya enggan dan tetap melahirkannya dan percaya anaknya itu mempunyai kelebihan walaupun fizikalnya tidak normal seperti manusia lain.

Walaupun cacat, namun Al Muftah membesar menjadi seorang anak yang bijak, malah turut menjadi antara usahawan termuda di Qatar apabila mengusahakan perniagaan ais krim.

Walaupun fizikalnya begitu dan berjalan menggunakan tangan, namun Al-Muftah yang kini belajar di universiti dalam bidang sains politik masih mampu bersukan bersama rakan-rakannya, termasuk bermain bola, menyelam, bermain papan selaju dan rock climbing.

Bercita-cita untuk menjadi seorang diplomat suatu hari nanti, bagi pemuda ini, kekurangannya bukanlah untuk dia menjadi lemah sebaliknya membuktikan dia juga mampu berjaya dan menjadi inspirasi kepada mereka di luar sana.

Kemunculan Al Muftah mencuri perhatian di perasmian yang berlangsung di Stadium Al Bayt itu. Beliau berdialog di pentas pembukaan sukan bola sepak ternama itu bersama pemenang anugerah Oscar, Morgan Freeman.

Dalam ‘perbualan’ mereka, Al Muftah turut membacakan petikan surah Al-Hujurat ayat 13, selain berkongsi mengenai dasar hubungan antara manusia, toleransi dan hormat menghormati. Morgan pula turut menyampaikan mesej tentang keamanan dan menyeru semua orang Bersatu.

Petikan ayat al-Quran yang dibaca al Muftah berbunyi : “Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu.” (Al-Hujurat : 13)

Ini merupakan kali pertama ayat suci al-Quran dilantunkan dalam sejarah acara pembukaan sukan tersebut. Qatar yang menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022 merupakan negara Arab pertama yang menganjurkan kejohanan berprestij ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram