Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima Deklarasi Barisan Nasional dari Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sambil diperhatikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) serta pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Nasional pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

PADA Sabtu, 19 November lebih 20 juta pengundi telah membuat keputusan masing-masing. Hasilnya, mereka telah mandatkan 219 (tiga lagi tertangguh) wakil rakyat ini untuk berada di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia.

Kini giliran wakil rakyat ini pula membuat keputusan memilih siapa dalam kalangan mereka paling layak dan sesuai untuk menjadi Perdana Menteri, mengetuai jentera pentadbiran kerajaan di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tiada mana-mana gagasan politik berjaya memperolehi majoriti mudah bagi membolehkannya membentuk kerajaan. Hatta, opsyen berikutnya untuk dipertimbangkan ialah pembentukan kerajaan campuran.

Ada dua teraju utama, iaitu PH dengan 81 kerusi dan PN dengan 73 kerusi. Ada pula tiga gagasan penentu iaitu BN (30), GPS (23) dan GRS (6).

GPS dan GRS sudah membuat keputusan untuk bersekutu dengan PN. Tetapi itu belum mencukupi, maka gagasan diterajui PN memerlukan penyertaan BN.

Soalnya mengapa hingga ke saat ini BN masih belum membuat keputusan walhal, semasa perhimpunan agung UMNO yang lepas, parti itu telah membuat keputusan untuk tidak bersekutu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH.

Dalam BN, UMNO miliki 26 kerusi. Bilangan ini cukup untuk menjadi penentu, jika BN memilih untuk memihak kepada PH atau PN.

Saya berada nun jauh di luar lingkaran kepimpinan UMNO, maka saya tidak dapat meneka apakah yang ada dalam fikiran mereka.

Sebagai orang biasa, saya gemar menulis apa yang terlintas di kepala saya untuk dikongsikan dengan rakan-rakan. Realitinya, tulisan saya ini bukan sebagai seorang penganalisis politik.

Pada mulanya, bila saya menerima posting daripada Isham Jalil yang baru diamanahkan memegang portfolio Ketua Penerangan UMNO, menyatakan hematnya eloklah BN berperanan sebagai pembangkang, respons spontan saya ialah itu satu tindakan kurang rasional.

Dalam hati saya berkata BN yang kini tewas teruk sepatutnya berjiwa besar. Kini dalam kalangan 30 wakil rakyat BN berbelah bagi. Khabarnya ia terbelah tiga. Ada yang nak bersama PN dan ada juga yang rela bersama PH, tapi ramai memilih menjadi pembangkang dan merestui pembentukan kerajaan oleh PN. Apa maknanya dan mengapa begitu pendiriannya?

Saya cuba memahami dan meneka persamaan pemikiran dengan mereka. Tekaan saya ialah, mereka tidak mahu menyertai mana-mana gagasan jika sekadar:
 Ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
 Ibarat melukut di tepi gantang.
 Ibarat datang tak dijemput, perginya tak ditangisi.
 Ibarat anak tiri, sekadar kehadirannya saja diperlukan,

Salah-salah hemat mereka akan dijadikan bahan lawak oleh sekutunya yang lain itu. Jauh lebih malang lagi ialah kemungkinan banyak bahagian BN/UMNO terutama di kerusi yang dimenangi PN akan dikuburkan, untuk ia dipaksa akur jika hendak kekal berada dalam kerajaan campuran. Kebangkitan gelombang hijau akan memaksa gelombang biru dibunuh di beberapa negeri dan lokasi strategik.

Sebenarnya, apa keutamaan BN buat masa ini?
Tekaan saya ialah:
 Pertama, segera adakan EGM untuk dapatkan mandat baharu kepimpinan UMNO, yang ahli rasakan mampu mengembalikan kegemilangan UMNO.

 Kedua, reset UMNO untuk kembali gah seperti di awal penubuhannnya pada 11 Mei 1946. Semangat perjuangan 1946 itu wajib segera dikembalikan untuk digalas oleh generasi muda, sebelum mereka lupa kepayahan yang dilalui datuk nenek
mereka menentang Malayan Union dan memperjuangkan kemerdekaan, sebelum lain-lain parti yang ada ini menikmati hasil perjuangan itu.

Hatta, bagi membolehkan kepimpinan UMNO menumpukan keutamaan itu, eloklah mereka tidak berada dalam kerajaan. Sebagai blok pembangkang kedua, BN hendaknya tidak berseteru dengan sesiapa. BN membina naratif baharu dalam menyuburkan institusi Parlimen, yang sebelum ini sudah setara dengan pasar borong sifatnya.

Kepada kepimpinan BN yang bijaksana, selamatkanlah negara dan selamatkanlah UMNO. Pastinya dua rakan setiamu, MCA dan MIC akan kekal bersama kerana bila UMNO teguh, ia mampu membantu mengembalikan keagungan MCA dan MIC untuk menarik sokongan etnik masing-masing kembali ke pangkuannya.

Kepada gagasan yang diterajui PN, tadbir uruslah negara ini sebaik mungkin, dengan Bersih, Cekap dan Amanah demi menjamin keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara, secara adil dan saksama.

Pilihlah dalam kalangan kamu yang bersifat mahmudah untuk menggalas amanah dan tanggungjawab itu.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)