Dua remaja maut dalam kemalangan membabitkan lapan motosikal dan sebuah kereta di KM14.4 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala Seremban malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata mangsa yang meninggal dunia ialah penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 19 tahun dan pemboncengnya, remaja perempuan berusia 14 tahun.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan pada 9.30 malam itu berlaku ketika kira-kira 50 motosikal mengekori belakang sebuah kereta di lebuh raya itu.

“Motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kereta tersebut lalu menyebabkan mereka terjatuh di atas jalan. Ekoran itu, tujuh motosikal yang lain yang cuba mengelak telah berlanggar sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata remaja perempuan itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala remaja lelaki meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, di Seremban.

Baca artikel : Tiga beradik yatim piatu, ibu bapa dan adik bongsu maut di LPT1

Katanya kemalangan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Monday , 21 November 2022