BANDAR Bern di Switzerland telah wujud sejak zaman pertengahan sekitar abad ke-12 lagi. Kerana itu, banyak bangunan serta seni bina di sini masih mengekalkan ciri-ciri lama.

Salah satu binaan popular di sini ialah sebuah tugu yang terletak di tengah-tengah bandar tersebut. Ia digelar dengan nama Kindlifresserbrunnen.  Ia berupa sebuah patung diterjemahkan sebagai gergasi ganas yang suka memakan kanak-kanak.

Kindlifresserbrunnen mula dibina seawal tahun 1546 lagi. Ia merupakan salah sebuah tugu hiasan mata air pancut yang terdapat di bandar Bern sejak abad ke-16. Tiada catatan sahih apa tujuan sebenar tugu ini dibina, namun terdapat beberapa versi cerita dan teori dikaitkan dengan tugu ini.

Bandar Bern di Switzerland.
Tugu Kindlifresserbrunnen yang dikaitkan dengan pelbagai mitos dan teori.

Berdasarkan teori yang dikemukakan oleh beberapa orang pakar sejarah tempatan, tugu berbentuk patung gergasi yang sedang memakan budak ini mungkin dibina sebagai satu isyarat amaran terhadap komuniti Yahudi yang pernah mendiami bandar berkenaan satu ketika dahulu.

Sewaktu era zaman pertengahan, wujud khabar angin mengatakan komuniti tersebut mengamalkan upacara pengorbanan manusia. Ada yang mengaitkan pembinaan patung lelaki gergasi ini sebagai simbolik seorang lelaki Yahudi yang rakus memakan kanak-kanak.  Difahamkan, sentimen tersebut masih berterusan sehingga sekarang.

Teori seterusnya turut mengaitkan penggunaan topi yang dipakai patung gergasi berkenaan. Dipercayai, hiasan di kepala patung tersebut menyerupai penutup kepala oleh komuniti lelaki Yahudi.

Digelar sebagai Judenhut, perhiasan di bahagian kepala ini pernah dipakai oleh masyarakat tersebut sewaktu era zaman pertengahan dahulu. Tujuan topi ini dipakai ialah untuk memudahkan sesama mereka mengenal antara satu sama lain.

Gambaran tugu ini pada zaman dahulu.

Selain sentimen kebencian terhadap komuniti Yahudi di situ, wujud beberapa versi cerita lain mengaitkan pembinaan tugu berkenaan. Katanya, patung itu dibuat bagi menggambarkan sejenis dewa menakutkan yang terdapat dalam mitologi Yunani purba. Makhluk tersebut digelar sebagai Cronus.

Berdasarkan cerita legenda, Cronus merasa sangat bimbang akan kehilangan kuasa jika terus membiarkan anak-anaknya hidup. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk memakan anak-anaknya secara hidup-hidup. Namun, salah seorang anak dewa tersebut bernama Zeus berjaya melepaskan diri serta membebaskan adik-beradik lain sebelum dimakan oleh ayah mereka.

Sesetengah pendapat mengatakan tugu Kindlifresserbrunnen berkait rapat dengan kehidupan abang kepada pengasas bandar Bern bernama Duke Berctold. Dia disifatkan sebagai seorang individu gila kuasa. Ia berikutan ketidakpuasan hati terhadap adiknya sendiri yang dilantik sebagai ketua di kawasan bandar berkenaan.

Oleh sebab rasa kebencian itu telah mendorong lelaki ini melakukan pembunuhan terhadap beberapa orang kanak-kanak di situ. Lebih menakutkan, dia bukan sahaja membunuh tetapi turut mengamalkan kanibalisme terhadap kanak-kanak malang berkenaan.

Kebanyakan ahli sejarah sependapat bahawa Kindlifresserbrunnen dibuat untuk menakutkan kumpulan kanak-kanak nakal di situ. Wajah ngeri patung gergasi berkenaan mungkin sengaja dibuat untuk menggambarkan ia sebagai bogeyman atau momok.

Sesetengah orang mengaitkan wajah patung gergasi ini mirip dengan sejenis makhluk mitos Eropah digelar Krampus. Ia adalah watak legenda yang sangat ditakuti oleh golongan kanak-kanak di Eropah tengah. Memiliki wajah bengis dengan sepasang tanduk kambing di kepala dan gemar memakan kanak-kanak, menjadi modal cerita bagi kebanyakan ibu bapa untuk mendiamkan anak-anak mereka yang nakal.

Meskipun pelbagai versi cerita atau teori dikemukakan selama ini, tugu Kindlifresserbrunnen tetap teguh berdiri di bandar Bern. Ia dianggap sebagai mercu tanda bandar itu dan turut menggamit pelancong.

Tugu ini menjadi mercu tanda bandar Bern.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram