PELAKON Jason David Frank, 49, yang terkenal dengan watak Tommy Oliver menerusi siri Power Rangers era 90-an, disahkan meninggal dunia.

Khabar duka itu dimaklumklan oleh pengurus mendiang iaitu Justine Hunt. Walau bagaimanapun, kematian Jason tidak didedahkan dengan lebih lanjut.

Kematian Frank yang popular dengan karakter Power Rangers berwarna hijau itu nyata mengundang kesedihan rakan selebriti termasuklah Walter Emmanuel Jones.

Jones yang pernah berlakon bersama Frank dalam Mighty Morphin Power Rangers dan memakai pakaian Power Rangers berwarna hitam turut terkejut dengan berita kematian rakannya.

“Hati ini sangat sedih kerana kehilangan seorang lagi ahli istimewa dalam keluarga kami,” tulisnya di Instagram.

Terdahulu, pada 2001, Thuy Trang yang melakonkan watak Power Ranger berwarna kuning, meninggal dunia akibat nahas jalan raya ketika berusia 27 tahun.

Siri televisyen Mighty Morphin Power Rangers mengisahkan lima remaja yang menyelamatkan bumi daripada penjahat.

Ia mula diperkenalkan pada 1993 di siaran televisyen Foz sekali gus mencetuskan fenomena di seluruh dunia.

Pada musim pertama, watak Tommy Oliver lakonan Frank digambarkan sebagai penjahat. Kemudian, dia menyertai Power Rangers sebagai Ranger hijau dan mula popular.

Setelah itu, watak Frank bertukar kepada Power Rangers berwarna putih dan bergelar ketua kepada kumpulan yang baharu.

Frank pernah membintangi beberapa filem antaranya Mighty Morphin Power Rangers : The Movie dan Turbo: A Power Rangers Movie.

Mendiang turut membuat kemunculan khas dalam filem terbitan semula Power Rangers pada 2017.

Frank meninggalkan empat anak yang mana tiga daripadanya adalah hasil perkahwinan pertama bersama Shawna Frank.

Menerusi perkahwinan kedua bersama Tammie, mereka dikurniakan seorang anak.