Saarani Mohamad. GAMBAR: Info Rakyat

AHLI Dewan Undangan (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15, jawatan yang dipegangnya sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 16 Okt lalu.

Bernama melaporkan Ketua Barisan Nasional Perak itu mengangkat sumpah di depan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 5.40 petang.

Terdahulu, Saarani, 61, menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Balai Istiadat Kecil Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. 

Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Abdul Wahab Mohamed. 

Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Sultan Nazrin telah memberi perkenan pelantikan Saarani berpandukan Perkara 16 Fasal 2 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak setelah pada timbangan baginda, ADUN Kota Tampan itu boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar ADUN.

Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu sebagai Menteri Besar dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas kedua-dua gabungan politik bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri. 

Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi manakala PH dan BN masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram