syukur yang menjanjikan nikmat

Bercerita tentang syukur, ia memang mudah diucapkan dengan kata-kata tetapi bagaimana untuk membuktikannya dengan hati dan perbuatan. Kerana, antara kata-kata, hati dan perbuatan ia harus jalan seiringan. 

Di dalam menjelaskan hal ini, pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Zuliza Mohd Kusrin berkata, secara semula jadinya manusia ini perlu berterima kasih kepada Maha Pencipta dengan mengucapkan Alhamdulillah.

Secara umumnya antara terima kasih dan syukur, adalah sama iaitu kita berterima kasih, menghargai sesuatu kebaikan yang diberikan. Terima kasih ditujukan kepada manusia tapi cara mengucapkan terima kasih itu berbeza antara Allah dan manusia. 

Jika kita menyatakan terima kasih kepada manusia itu ada tapisannya. Iaitu kita juga melihat bagaimana pemberian itu boleh memberi manfaat atau sesuatu pemberian yang boleh memudaratkan. 

Berterima kasih kepada manusia adalah kerana jasanya dan menabur bakti tanpa mengharapkan sebarang balasan contohnya ibu bapa,guru, orang tua. Menghargai pertolongan, pemberian, kebaikan, bantuan, tunjuk ajar tanpa mengharapkan balasan.

Rasulullah juga ada menyebutkan di dalam sebuah hadis tentang keperluan bersyukur atau berterima kasih kepada manusia. Daripada al-Nu’man Basyir katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Bercakap mengenai nikmat Allah bererti syukur, dan sesiapa yang meninggalkannya bererti kufur, dan sesiapa yang tidak bersyukur sedikit nescaya dia tidak bersyukur yang banyak  dan siapa yang tidak bersyukur kepada manusia dia tidak bersyukur kepada Allah.”(HR Imam Ahmad dan Baihaqi).

Dari hadis itu sudah jelas, sifat syukur itu ada dua iaitu syukur kepada Allah dan kepada manusia. Di dalam semua budaya dan agama pun akan memberikan pendapat yang sama iaitu bersyukur, satu perkara asas di dalam kehidupan manusia.

Jika kita tidak pandai bersyukur dan berterima kasih kepada orang lain maka ia akan menjadikan kita orang yang bongkak dan takbur. Kerana, merasakan segala nikmat yang diperoleh dan kepandaian dimiliki serta kekayaan yang diraih dirasakan adalah atas usahanya tanpa memikirkan bahawa nikmat yang diperoleh adalah dari Allah.

Makanya, cukupkah bersyukur sekadar mengucapkan Alhamdulillah sahaja. Bagaimanakah caranya Nabi bersyukur kepada Allah?

Rasulullah menunjukkan kesyukurannya dengan bertahajud setiap malam hingga bengkak-bengkak kakinya seperti yang disebut di dalam sebuah hadis. Aisyah bertanya kepada Baginda,

“Mengapa engkau lakukan ini ya Rasulullah? Padahal Allah mengampukan dosamu yang lalu dan akan datang.”

Baginda menjawab, “Salahkah aku ingin menjadi hamba yang bersyukur.”

Menurut Dr. Zuliza lagi,  Rasulullah menunjukkan rasa bersyukurnya kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadat tengah malamnya. Sehinggakan Aisyah mendapati Rasulullah berdoa dan sujud kepada Allah setiap malam. Manusia agung yang telah dijanjikan Allah syurga pun sanggup melakukan ibadat tanpa putus sepanjang hidupnya. 

Itulah yang Nabi mahu tunjukkan bahawa mensyukuri nikmat Allah itu satu kewajipan yang perlu dilakukan secara berterusan dan tetap. Terlalu banyak nikmat yang Allah berikan yang kita terima setiap hari tanpa disedari. Sebagaimana yang disebutkan di dalam surah Ibrahim: 7, dengan bersyukur atas nikmat Allah maka sebagai aturannya maka Allah akan melipat gandakan nikmatnya itu.

Cara menunjukkan syukur

Kita kena sentiasa bersyukur setiap saat di dalam kehidupan seharian baik di dalam solat dan juga percakapan harian tanpa ada perkara yang tertentu. Bersyukur itu pula perlu dengan hati, perkataan dan perbuatan.

Bersyukur dengan hati itu ialah tidak merasa takbur dengan nikmat yang diperoleh. Sentiasa bersangka baik dengan Allah dan meletakkan keyakinan kepada Nya dalam apa juga keadaan. Percaya segala yang ada di dalam dunia ini, datangnya daripada Allah.

Manakala syukur dengan perkataan, terlafaz dari mulut tentang Allah hanyalah kata-kata pujian, sanjungan dan pujaan belaka. Hanya Allah saja yang layak menerima kata-kata itu. Jangan sekali terlafaz dari mulut kita perasaan benci, kecewa, putus asa, bersangka buruk dengan Allah.

Sentiasa lafazkan Alhamdulillah atas segala sesuatu nikmat yang diterima baik berupa ujian kegembiraan, kebahagiaan, kesakitan, kesulitan dan kesengsaraan kerana kita tidak mengetahui hikmah di sebalik semua itu.

Syukur perlu juga disertakan dengan perbuatan. Ambillah Rasulullah s.a.w. sebagai teladan untuk menyatakan rasa kesyukuran dengan perbuatan. Di dalam melahirkan rasa syukur Rasulullah banyak melakukan ibadat, melaksanakan suruhan Nya dan meninggalkan larangan Nya. Kemudian disertai pula ibadat sunat untuk menyempurnakan lagi rasa kesyukuran itu.

Kesyukuran itu juga boleh ditunjukkan dengan bersedekah dan memanjangkan sedekahnya tanpa menunjuk-nunjuk. Bersyukur dengan anugerah kepandaian juga boleh ditunjukkan dengan menyampaikan ilmunya tanpa rasa kedekut. Perbuatan itu adalah yang paling utama untuk mengesahkan lagi kesyukurannya.

Syukur itu adalah sinonim dengan subur maknanya apabila kita bersyukur, apa yang diperoleh itu akan subur berkembang termasuk kekayaan dunia dan ilmu pengetahuan. Kesyukuran akan menyuburkan anugerah-anugerah yang Allah berikan. Semakin bersyukur akan menjadi semakin kaya-raya.

Apa jadi jika tidak bersyukur?

Bersyukur itu adalah wajib, sama ada mahu atau tidak kita kena bersyukur kepada Allah atas segala nikmatnya. Apa akan terjadi kalau tidak bersyukur?

Menurut Dr. Zuliza, dari  surah Ibrahim tadi sudah jelas diterangkan, sesiapa yang tidak bersyukur maka azab Allah amatlah keras. Mereka yang tidak bersyukur itu adalah orang yang kufur dan ingkar akan nikmat Allah.

Orang yang tidak bersyukur akan menjadi orang yang sombong, takbur dan menzalimi orang lain. Tanpa sifat syukur juga boleh menjadikan kita seorang yang tamak dan merasakan apa yang dimiliki tidak pernah mencukupi dan sentiasa mahu menghimpun apa yang dimilikinya.

Tanpa perasaan syukur juga boleh menjadikan kita sentiasa menyalahkan orang lain apabila berlaku musibah, tidak reda dengan qada dan qadar Allah. Paling sedih apabila tidak ada perasaan syukur ia akan menjadikan kita tidak tenang, hilang nikmat kebahagiaan, sentiasa keluh kesah, tertekan dan berprasangka buruk.

Kita boleh ambil iktibar dari kisah Firaun yang sombong dan tidak pernah bersyukur dengan nikmat dan kelebihan yang diperoleh. Disebabkan itu dia ditimba musibah. Firaun, sampai satu tahap mengangkat dirinya sebagai tuhan yang patut disembah oleh rakyatnya.

Allah mengutus Nabi Musa untuk menjadi petunjuk kepada rakyat yang dizalimi. Allah memberi balasan yang setimpal dengan sikap angkuh Firaun iaitu menenggelamkannya di Laut Merah sewaktu mengejar Nabi Musa.

Secara normalnya orang yang tidak pernah bersyukur dan tidak memanfaatkan anugerah yang diberikan akan menerima peringatan dari Allah dalam bentuk ditimpa musibah atau dugaan, di mana semua itu sebenarnya adalah suatu hikmah agar manusia kembali mentaati Nya. Wallahu a’lam

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram