Istana Negara, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN) menghadap di Istana Negara.

Perkara tersebut dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, sesi menghadap 30 ahli Dewan Rakyat BN itu adalah secara individu dijadualkan berlangsung pada pukul 10.30 pagi esok.

Beliau berkata, proses berkenaan bertujuan supaya Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Katanya, ia seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Dimaklumkan bahawa lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada pukul 4.30 petang ini di Istana Negara, proses seterusnya ialah sesi menghadap 30 ahli Dewan Rakyat daripada BN.

Baca artikel berkaitan: Agong belum buat keputusan, tidak timbul soal kerajaan minoriti – Anwar

“Sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada pukul 10.30 pagi esok di Istana Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menyeru dan menasihati seluruh rakyat supaya bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu serta pelantikan bakal Perdana Menteri ke-10 selesai.

“Seri Paduka turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air tercinta.

“Seri Paduka mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana serta musibah,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram