Asyik meratip dan berzikir ‘tak ada duit’ dan ‘tak cukup duit’ saban hari sehinggakan kadang kala kita tidak sedar, ianya menjadi doa yang dimakbulkan Allah SWT. Segalanya cukup serba serbi namun tetap dirasakan tidak sempurna. Terasa sentiasa tidak cukup.

Tidak salah berusaha untuk tingkatkan taraf kehidupan, namun buatlah untuk diri sendiri dan keluarga. Bukan semata-mata mahu dipandang tinggi orang luar. Kadang kala kita sibuk menggapai bintang di langit, namun lupa apa yang ada di depan mata.

Ikuti perkongsian yang penuh pedoman ini.

“Hari tu berborak dengan kawan.

Dia kata duit takda. Tak cukup. Nak duit banyak. Bahasa kita biasa-biasa la tu. Cerita rakyat marhaen.

Tapi kemudian saya teringat masa makan sarapan tadi. Dia bawa spagetti. Dalam spagetti tu ada sotong. Ada udang. Dan banyak. Dapat la dia jamu kami makan dengan spagetti tu. Buat tenaga sebelum kerja.

Jadi saya bagitahu dia. Bukan tak cukup. Cukuplah tu. Kalau tak, takkan boleh bawa spagetti sampai dua binatang dia buh dalam tu. Binatang mahal pulak tu.

Duit ni. Harta ni. Memang susah nak cukup. Kita sentiasa rasa tak cukup. Cuba tanya orang kaya. Dia pun rasa tak cukup.

Untuk kita 500 tu sikit. Untuk orang kaya 1.2 juta tu sikit. Kalau tak, takdalah dia buat bisnes macam-macam lagi. Nak tambah lagi. Nak bagi banyak lagi.

Kadang untuk itu sampai sanggup buat benda salah. Buat benda tak semenggah. Benda menjatuhkan maruah. Benda dimarah Allah.

Sebab sifat kita manusia pada duit dan harta memang begitu. Kalau tak tidaklah kalau ada satu gunung emas, kita akan minta satu lagi. Tuhan tahu dah. Memang macam tu lah. Kita. Manusia.

Kemudian saya tanya dia. Ada rumah. Ada kereta. Ada pakaian. Ada makan. Ada dia kata. Ada pinjam beras jiran. Ha ni takda.

Makanya awak kaya. Lebih dari kaya. Sebab awak ada semua. Dan mampu pulak sedekah pada kami ni lagi. Sedekah spagetti.

Kadang bukan kita tak kaya. Bukan hidup ini tak mencukupi. Tapi nafsu kita tak terpenuhi.

Saya tak kata jangan jadi kaya. Bagus. Jadi lah. Memang elok. Boleh bagi banyak lagi.

Saya tak kata jangan cari duit. Saya pun kerja. Nak cari rezeki sendiri. Nak bagi yang terbaik pada anak. Nak hantar sekolah dan aktiviti yang bagus untuk dia. Nak beli buku. Nak bagi kat sesiapa saya suka. Bila-bila saya mahu. Jadi cari. Rezeki.

Saya tak kata jangan ada cita-cita. Jangan upgrade diri. Silalah. Jadi manusia kalau taknak upgrade diri sendiri baik jadi batu.

Cumanya saya selalu pesan pada adik-adik. Pada kawan-kawan. Pada anak-anak.

Hiduplah kerana nak menyedapkan dan meningkatkan diri kamu untuk mata kamu. Bukan untuk menyedapkan dan meningkatkan diri kamu di mata orang.

Sebab kalau macam tu kamu akan sakit.

Pakai kereta kecil. Malu. Duduk rumah kecil. Segan. Pakai baju jenama daily-daily. Tak gah. Pakai kasut abibas. Low class. Jangan. Sakit.

Sakit hati dan sakit poket.

Selama mana kamu hidup sebab nak menyedapkan mata orang, kamu sakit. Tapi kalau kamu nak menyedapkan pandangan kamu. Dan pandangan Tuhan pada kamu. InshaAllah. Tuhan suka. Dan Tuhan tambah. Tuhan auto tingkatkan kamu di mata orang. Dengan cara Dia. Dah kalau begitu, kamu pasti akan bahagia.

Kadang bila kita sibuk tengok yang nak dicari. Lupa nak pandang apa yang dah diberi.

Saya kata saya sendiri.

Syukur itu bunyinya mudah.

Nak bersyukur tu kadang cukup payah.

Siti Suryani Yaakop

#kaknis”

Kredit : Siti Suryani Yaakop