Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Menolak tanggapan industri logistik hanya sesuai buat golongan lelaki, Atika Sulaiman, Rakan Operasi Pick-Up-Drop-Off (PUDO) Ninja Van Malaysia menegaskan terhadap ruang dan peluang buat golongan wanita terokai industri logistik dan rantaian bekalan di seluruh dunia.

Ulas Atika, peranannya melibatkan penyelarasan pesanan dan penghantaran dengan pemandu Ninja Van Malaysia. Pada mulanya, ia boleh menjadi cabaran bagi wanita yang tidak biasa bekerja dalam industri yang mempunyai majoriti pekerja lelaki, di mana cara komunikasi mungkin berbeza. Tetapi baginya, mengamalkan komunikasi secara langsung dalam kalangan rakan sekerja lelaki adalah cara terbaik untuk menempuhi bidang pekerjaan ini.

“Terdapat tanggapan umum bahawa operasi gudang adalah terhad kepada buruh manual yang berat. Namun, apabila anda bekerja di sebuah gudang logistik, anda akan mendapati terdapat tugas-tugas berkaitan yang sesuai untuk pekerja wanita di sini, seperti pengurusan inventori, perancangan pengambilan bungkusan dan juga pengasingan bungkusan.”

Sebagai satu-satunya ahli wanita dalam pasukannya, Atika percaya bahawa apabila seseorang selesa bekerja dalam persekitaran yang pantas dan bersama tenaga kerja yang pelbagai, secara amnya tiada isu untuk wanita bekerja dalam industri logistik.

“Kami kini telah memasuki bulan paling sibuk tahun ini untuk Ninja Van Malaysia dan saya gembira kerana mempunyai pasukan yang kerap memberi sokongan. Saya berbesar hati kerana diberi peluang untuk menguruskan sejumlah besar pemandu untuk tempoh puncak akhir tahun ini – lebih 100 pemandu untuk seluruh Lembah Klang. Walaupun ia boleh menjadi tempoh yang sangat mencabar, kami bersatu sebagai pasukan dalam menempuhinya,” ulasnya lanjut.

Dia juga berkongsi bahawa Ninja Van Malaysia sentiasa membuka berpeluang untuk belajar dan meneroka haluan kerjaya yang pelbagai. Malah pekerja digalakkan untuk terus belajar dan meningkatkan kemahiran diri melalui pelbagai latihan yang dianjurkan, seperti latihan Kesinambungan Perniagaan, Pembinaan Pasukan, program Penulisan Perniagaan dan sesi Kelas Induk Jualan.

“Bagi wanita di luar sana, amatlah penting bagi anda untuk mencuba sendiri kerjaya ini dan kenali industri ini dengan lebih mendalam. Tiada garis pemisah kepada keupayaan kita sebagai wanita dalam dunia pekerjaan,” kata Atika.