ANTHONY LOKE SIEW FOOK./ Gambar media sosial.

DAP menyeru semua pihak kekal bertenang dan sabar menunggu keputusan muktamad daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, proses yang sedang berjalan ketika ini merupakan suatu perkara baharu yang dilalui negara.

Namun begitu, kata beliau, ia merupakan suatu proses biasa yang perlu dilalui dalam sistem Demokrasi Berparlimen ala Westminster.

Anthony turut menegaskan, DAP sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan.

“Ketika proses pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih berjalan, DAP menyeru semua pihak untuk kekal bertenang dan sabar menunggu keputusan muktamad daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Proses yang sedang berjalan ini adalah sesuatu yang baru untuk negara kita namun ia adalah suatu proses yang biasa yang perlu dilalui dalam sistem Demokrasi Berparlimen ala Westminster dalam keadaan di mana tidak ada satu parti atau gabungan memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Anthony turut menasihatkan semua pihak dan mengarahkan semua anggota DAP supaya sentiasa menjaga keharmonian dan ketenteraman awam sepanjang masa.

Baca artikel berkaitan: GPS serah kebijaksanaan Agong lantik PM

“Keamanan dan kedamaian dalam kalangan masyarakat kita mesti dipelihara dalam meraikan proses demokrasi yang semakin subur di negara kita,” katanya.

Pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU-15, Sabtu lalu. PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Semalam, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam.

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca PRU15, sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram