DUA beranak maut manakala enam cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 451.9 Lebuhraya Utara-Selatan, Sungai Buloh awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, mangsa Mat Zaki Mahmud, 48, dan anaknya, Mya Zaratul Nuraishah,13, yang merupakan penumpang Proton Wira disahkan maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 3.20 pagi melibatkan kenderaan Proton Wira yang dinaiki mangsa dan Toyota Vios.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku sewaktu Proton Wira dan Toyota Vios dalam perjalanan dari utara ke selatan.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu Proton Wira telah hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Sementara pemandu Toyota Vios yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Wira,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafa’aton berkata, pemandu Proton Wira, Mohd Fauzi Mahmud, 38, dan penumpang Nur Zafrina Nashtasya Mat Zaki,15, di rawat di zon merah manakala Muhammad Iman Zafran Mat Zaki, 9, dirawat di zon kuning.

“Penumpang Toyota Vios, Ruzaini Md. Ramzi dirawat di zon hijau Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Sementara pemandu Toyota Vios, Nazri Rajab, 49, dan anaknya Muhammad Naim, 15, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.29 pagi tadi dan tiba di lokasi kejadian 26 minit kemudian.

“Terdapat lapan mangsa terlibat di mana dua disahkan meninggal dunia, dua wanita cedera parah dan empat individu lagi cedera ringan,” katanya.

Norazam berkata kesemua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam dari kenderaan terlibat sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

Baca lagi: Dua remaja maut dalam kemalangan di Lebuhraya Seremban – PD

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram