JENAMA peneraju hiburan, Rocketfuel Entertainment dengan rendah hatinya ingin mengumumkan bahawa konsert sulung penyanyi Hael Husaini Live In KL yang sepatutnya bakal berlangsung pada 4 Disember depan ditunda ke tarikh 19 Februari di Zepp Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna, berkata, bagi pihak pengurusan pihaknya ingin memohon maaf di atas penukaran tarikh konsert tersebut.

“Kepada setiap pembeli tiket konsert yang telah pun membuat pembelian, jangan risau kerana tiket tersebut kekal sah pada tarikh yang telah dijadualkan semula.

“Sebagai tambahan, Rocketfuel menjanjikan sebuah konsert yang energetik dan penuh bertenaga yang berkonsepkan ‘boogie shoes’ dimana penonton digalakkan ‘sing-along’ serta ‘dance-along’ sepanjang durasi konsert,” katanya.

Pihak Rocketfuel Entertainment sangat menitikberatkan perasaan peminat Hael supaya tidak berasa kecewa kerana mahu berikan yang terbaik untuk malam konsert yang amat dinanti-nantikan tersebut.

Sementara itu, Hael pernah meluahkan hasratnya untuk menganjurkan sebuah konsert setelah 15 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

“Ini merupakan impian saya sedari dulu lagi. Banyak yang ingin saya tonjolkan pada malam konsert tersebut yang berkonsepkan festival.

“Saya menganggap konsert ini sebagai pementasan perjalanan karier seni saya secara muzikal, bagaimana saya bermula, apakah perbezaan muzik dan karya saya dari dulu sehingga kini bukan sahaja sebagai penyanyi malah sebagai pencipta lagu, semuanya akan saya sampaikan melalui persembahan pada malam konsert nanti,” ujarnya.