PELAKON Farid Kamil mendedahkan telah mendapat ‘restu’ daripada tokoh politik terkenal, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum melakonkan filem biopik Anwar, terbitan produksi Indonesia, Bianglala Entertainment.

Menurut Farid atau Farid Kamil Zahari,41, dia bertemu dengan figura itu sebanyak dua kali bagi menghayati lebih terperinci karakter sebenar ahli politik terkemuka itu.

“Beliau seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang pernah dianiaya suatu ketika dahulu. Pada pertemuan pertama, kami hanya sempat berjumpa dua jam ketika sesi makan malam.

“Namun, masa tersebut tidak mencukupi. Justeru, saya membuat permintaan untuk bertemu sekali lagi dengan beliau sebelum saya terbang ke Jakarta tempoh hari.

“Setelah saya kaji apa yang berlaku terhadapnya, saya minta beliau tolong saya sebab saya nak lihat sendiri kesan-kesan (fizikal) yang dialaminya.

“Mengikut laporan perubatan, beliau ditumbuk dan dilukai tubuh badannya dengan tujuh pukulan.

“Saya minta beliau buka cermin mata nak tengok kesan tumbukan. Saya minta beliau angkat kening dan ternyata kesan parut tersebut masih lagi berbekas,” katanya kepada URTV.

Farid berkata demikian selepas sesi pratonton filem arahan terbaharunya iaitu Remp-It 2 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Jelas Farid, selepas pertemuan itu, dia mula merasai tiupan semangat dalam dirinya untuk menjayakan watak dalam filem Anwar.

“Semangat saya membuak-buak untuk menzahirkan watak Anwar Ibrahim sebagai satu flashback (imbas kembali) penderitaannya pada 1998 demi semangat reformasi,” katanya.

“Saya mula tahu tentang Anwar Ibrahim ketika tahun 1998. Ketika itu, timbul satu persoalan dalam benak pemikiran, kenapa tiba-tiba mata dia lebam?

“Jadi, soalan tersebut bermain di fikiran saya sejak 1998. Bila saya baca skrip, saya melihat realiti di sebalik gambar itu membuatkan saya fikir, tanggungjawab membawakan wataknya dalam filem Anwar perlu diterjemahkan dengan sebaik mungkin.

“Saya mengikuti perjalanan politik Anwar Ibrahim sejak tahun 1998 dan saya menyokong perjuangan beliau. Apa yang berlaku kepadanya, berlaku juga kepada saya,” jelasnya.

Selain Farid, filem Anwar turut dibintangi Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Firdaus Mat Joni, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem arahan Viva Westi itu telah diusahakan sejak Ogos 2011 dan kini berada di peringkat akhir penggambaran sebelum dijangka menemui penonton awal tahun depan.

Mengambil latar masa sekitar tahun 1993 sehingga 1998, filem berkenaan diolah daripada kisah benar dan susur galur perjuangan Anwar Ibrahim melawan sistem kerajaan korupsi yang akhirnya dihukum penjara.