PELAKON Nad Zainal dimaklumkan berada di unit rawatan rapi (ICU) di pusat perubatan swasta di Selangor akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Menurut pengarah Shahrulezad Mohameddin, keadaan Nad dilaporkan stabil disebelah petang tadi namun masih berada dalam pemantauan doktor.

“Saya sangat terperanjat apabila Nad dikejarkan ke hospital menaiki ambulans malam semalam dan setakat petang tadi, dia masih ditempatkan di ICU serta tidak sedarkan diri.

“Kemungkinan dia terpaksa ditidurkan kerana nak pastikan paru-parunya berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah, keadaannya juga dikatakan stabil.

“Saya pun tak dapat nak kongsikan lebih lanjut mengenai keadaannya, sebab dia berada di ICU. Nak melawat dia pun tak boleh sekarang ini.

“Selain risaukan dia, saya juga bimbangkan anak-anaknya yang kini dijaga oleh pembantu peribadinya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Shahrulezad turut memohon orang rama mendoakan kesejahteraan aktres itu agar diberikan kesembuhan dengan segera.

“Kami sebenarnya serba salah nak promosikan drama kami yang bakal ditayangkan di Astro Ria memandangkan keadaannya yang tidak mengizinkan ketika ini.

“Tapi, saya bersama rakan selebriti serta pasukan produksi berikhtiar dengan melakukan solat hajat dan bacaan Yaasin supaya dia kembali sihat serta mendoakan yang terbaik untuknya.

“Dua minggu lepas dia ada berjumpa dengan saya. Ketika itu, keadaan dia okey saja, cuma nampaklah wajahnya sedikit letih dan stres. Tak sangka pula dia sedang menanggung kesakitan dan rasanya dia pun tak tahu mengenai penyakitnya itu,” ulasnya.

Terdahulu, Ungku Ismail yang merupakan rakan gandingan Nad dalam drama Cina Buta ada memuat naik status mengenai kondisi ibu kepada dua cahaya mata itu yang berada di ICU.