Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) tidak bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu tetap dengan pendirian sejak awal untuk tidak bekerjasama dengan PH atas apa tujuan sekali pun.

Kata beliau, perkara tersebut merupakan pendirian PN sejak daripada awal sehingga ke hari ini.

“Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan tetapi kami telah berbincang perkara itu sejak awal lagi.

“Kami tidak akan kerjasama dengan PH, itu pendirian parti kita sejak dulu sampai ke hari ini atas tujuan apa sekali pun.

“Tadi, saya diminta untuk menandatangani dokumen kerjasama tetapi saya tandatangan tidak bersetuju. Tan Sri Abdul Hadi Awang juga tandatangan tidak bersetuju atas sebab-sebab yang kita tahu tidak boleh kerjasama dengan PH,” katanya dalam sidan media.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa telah pun menyerahkan dokumen akuan bersumpah secara dalam talian kepada Istana Negara yang mengumpulkan sebanyak 115 sokongan ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Baca artikel berkaitan: Agong titah 30 ahli Dewan Rakyat BN menghadap 10.30 pagi – Istana Negara

Beliau berkata, dokumen itu juga telah diperakukan penerimaannya oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

“Saya nak jelaskan bahawa semalam kita telah pun menyerahkan secara dalam talian dokumen diperlukan oleh pihak Istana Negara iaitu buktikan kami dari PN dengan gabungan banyak parti-parti dan ahli Parlimen parti lain berjumlah 115 disokong oleh akuan bersumpah (SD).

“Telah pun ada akuan penerimaan daripada Datuk Nazim mengesahkan menerima dokumen ini.

“Saya nak menunjukkan bukti bahawa waktu saya menyerahkan atau pun kami menghantarnya menerusi e-mel, ini bukti kami mempunyai sejumlah bilangan ahli Parlimen melebihi 112 yang dikehendaki dalam Perlembagaan.

“Sebab itu kami yakin kami sewajarnya boleh membentuk kerajaan tapi maklumlah bila saya menghadap tadi, dikatakan ini tidak mencukupi.

“Saya tidak tahu apakah sebab di sebalik itu tetapi buktinya ada di sini,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram