AHLI perniagaan yang juga bekas suami kepada penyanyi dangdut Amelina dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan serta denda sebanyak RM2,000 selepas mengaku bersalah memukul dan menendang isterinya.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu ke atas Reduan Mahamood,58, di Mahkamah Mahjistret Kajang, Selangor, hari ini.

Reduan diperintahkan menjalani hukuman penjara pada tarikh dia ditangkap iaitu 19 November dan tambahan tempoh penjara selama sebulan jika gagal membayar denda terbabit.

“Kes ini bukan sahaja berkepentingan kepada mangsa dan anak yang turut terlibat.

“Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Seorang isteri adalah pendamping bukan ‘punching bag’,” katanya.

Terdahulu, Reduan diddakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Adrina Mohd Ariff,45, di sebuah kondominium di Batu 9, Cheras pada 14 November lalu, pukul 5.13 petang.

Tular video mengenai perbuatan bekas suami Amelina yang ‘membelasah’ isterinya

Sebuah video berdurasi seminit 11 saat memaparkan Reduan bertindak memukul, mengheret serta menendang isterinya.

Lebih menyayatkan hati apabila, dalam video terbabit turut kelihatan seorang kanak-kanak perempuan yang ketakutan dan meminta pertolongan daripada video berkenaan.

Reduan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Reduan iaitu Mohd Shafiq Ahmed Bazari memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang mempunyai dua anak telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

“Tertuduh menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang memerlukannya membeli ubat serta perlu kerap pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain dia penanggung utama keluarga,” ujarnya.