PELAKON Fezrul Khan mendedahkan dirinya telah merujuk kitab suci Al-Quran sebelum membuat keputusan untuk membela anjing bagi menjaga kebunnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ujar Fezrul atau Fezrul Khan Junaidi Khan,40, dia sedar jika tindakannya itu akan mendapat kecaman orang ramai namun sebagai seorang yang beragama Islam, dia tahu apa yang dilakukan.

“Susah sebenarnya hendak bercakap sebab kita ada banyak mazhab. Jadi untuk lebih senang, saya akan berpandukan kepada ajaran Al-Quran sahaja.

“Jika ada sebarang kemusykilan, biasanya saya akan merujuk kitab suci itu saja kerana Allah yang menurunkan Al-Quran bukannya mazhab.

“Sekiranya masih sukar untuk mendapatkan kefahaman, barulah saya akan merujuk atau berjumpa dengan ustaz,” katanya kepada URTV.

Fezrul berkata demikian pada sidang media drama Aku Seorang Perempuan yang diadakan secara maya, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Fezrul turut berpendapat jika orang ramai lebih gemar mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah bebas daripada memahami isi kandungan Al-Quran.

“Mereka tak nak membaca atau merujuk pada Al-Quran dan lebih mudah percaya kepada apa yang dikatakan oleh penceramah.

“Sedangkan kita ada pelbagai mazhab. Sebagai contoh di Mekah, mazhab mereka berbeza dengan kita.

“Kalau di sana (Mekah) ada anjing di kawasan Kaabah, askar yang menjaga akan kata ‘tak ada masalah’,” ujarnya.

Terdahulu, Fezrul mencetuskan perbalahan antara orang ramai selepas dia memuat naik video memegang anjing peliharaannya di media sosial.