Kenderaan dipercayai membawa keluar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menghadiri pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Hotel St Regis

PERDANA Menteri caretaker, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat keluar daripada Hotel St Regis di ibu negara selepas dipercayai mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Konvoi kenderaan membawa Ismail Sabri itu dilihat keluar kira-kira pukul 5 petang, sebentar tadi.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO itu dilaporkan tiba pada pukul 2.57 petang.

Ketika ditanya tujuan mesyuarat tersebut, beliau hanya menjawab ringkas, “Saya tidak tahu lagi,” katanya.

Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PN dilaporkan mengadakan perjumpaan di Hotel St Regis pada pukul 3 petang tadi.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber, perkara tersebut disahkan satu sumber terdekat UMNO.

Menurut sumber berkenaan, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai perjumpaan tersebut bagi pihak BN.

“Ada perjumpaan antara BN dan PN di Hotel St Regis, Kuala Lumpur.

“Tok Mat (Mohamad) mengetuai BN. Selain itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Datuk Seri M Saravanan dan Datuk Arthur Joseph Kurup juga akan menghadiri perjumpaan ini,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Pemimpin BN, PN adakan perjumpaan di Hotel St Regis?

Sumber tersebut memaklumkan, perbincangan hari ini diadakan hasil persetujuan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN, semalam.

Bagaimanapun, sumber itu mengesahkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menyertai perjumpaan berkenaan.

Sebelum ini, BN mengadakan perjumpaan dengan Pakatan Harapan (PH) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Seri Pacific, Isnin lalu.

Tiga pemimpin BN iaitu Ahmad Zahid, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menghadap Yang di-Pertuan Agong, pagi tadi.

Kesemua mereka kemudian dilihat meninggalkan Istana Negara selepas hampir 40 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pemimpin BN yang memasuki Istana Negara pada jam 10.45 pagi dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 11.25 pagi.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah turut menitahkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung esok.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram