TIGA parti komponen Barisan Nasional (BN) didakwa mengusulkan undi tidak percaya kepada Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia susulan tindakan Ahmad Zahid menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan 30 ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Dalam surat yang tular di media sosial, tiga parti komponen itu iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mendakwa Ahmad Zahid mengkhianati keputusan Majlis Tertinggi BN yang bermesyuarat semalam supaya gabungan itu berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak menubuhkan kerajaan.

Surat tersebut yang dihantar kepada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bertarikh hari ini turut mempunyai cop terima Ibu Pejabat BN.

Menurut surat yang ditandatangani secara bersama tiga pemimpin komponen BN iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran dan Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, 10 akuan bersumpah (SD) yang telah dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah ditarik balik setelah keputusan Dewan Tertinggi BN dibuat.

“Akan tetapi Ahmad Zahid telah menghantar surat kepada Istana Negara, tengah hari semalam setelah mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sebelah pagi.

Baca artikel berkaitan: Surat Zahid bukan keputusan konsensus, MCA desak letak jawatan

“Ini jelas mengkhianati parti BN dan pada masa yang sama telah menyembah maklum keputusan BN yang salah kepada Yang di-Pertuan Agong yang dianggap sebagai satu perbuatan menderhaka kepada Seri Paduka.

“Kami meminta Ahmad Zahid berundur secara terhormat serta-merta dari jawatan Pengerusi BN dan digantikan oleh Timbalan Pengerusi iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan,” menurut surat tersebut.

Menurut surat berkenaan, usaha mendesak Ahmad Zahid berundur juga telah diusulkan Vigneswaran dalam mesyuarat semalam.

Bagaimanapun, surat tersebut mendakwa perjalanan mesyuarat terganggu apabila Ahmad Zahid membenarkan ahli-ahli Parlimen BN memasuki bilik mesyuarat walaupun mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum selesai.

“Kami akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi BN untuk mengambil tindakan tatatertib sekiranya Pengerusi BN enggan berundur secara terhormat, hari ini,” kata surat tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram