AKTRES Nad Zainal terpaksa ditidurkan selama dua hari selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Berita tersebut dikongsikan oleh teman baiknya, Aina Liza menerusi kiriman WhatsApp.

“Saya baru dapat ‘green light’ untuk berkongsi berita ini.

“Nad ditidurkan selama dua hari sebab paru-paru dia berdarah. Dah dapat keluarkan semua darah jadi doktor tidurkan dia supaya boleh rehat dan paru-paru kembali kering.

“Tadi, tak dapat nak kongsi (berita) ini sebab nak tunggu kebenaran keluarga dia. Sama-sama kita doakan Nad okey,” katanya.

Dalam pada itu, rakan selebriti Nad iaitu Ungku Ismail yang berada di hospital memberitahu, keadaan pelakon itu agak kritikal.

“Sehingga kini dia masih berada di bawah pemantaun doktor di ICU. Kondisinya agak lemah sebab kandungan oksigen dalam darah berkurangan.

“Doktor cakap, Nad sangat susah untuk bernafas sebab itu pakar perubatan terpaksa letakkan dia dalam intubasi sejak semalam.

“Saya harap semua doakan yang baik-baik buat Nad. Cuma apa yang saya nak katakan, punca dia sakit bukan disebabkan kesan jangkitan Covid-19 yang pernah dialaminya dulu,” jelasnya.