Rahsia memperoleh ilmu laduni
Sekadar gambar hiasan

Firman Allah S.W.T. dalam ayat 61-65 menceritakan,

Maka ketika mereka berdua sampai di pertemuan dua buah laut itu, maka mereka berdua terlupa akan hal ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka berjalan melampaui tempat itu, berkatalah Musa kepada muridnya,

‘Bawalah ke mari makanan tengahari kita; sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan kita ini.’ Muridnya menjawab,

‘Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.’ Musa berkata,

‘Itulah (tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.”

Baca artikel sebelumnya: siri 1: Dakwaan didatangi nabi khidir a.s dan belajar ilmu laduni, sejauhmana kebenarannya?

Ayat di atas mengisahkan dugaan-dugaan dihadapi oleh Nabi Musa dalam perjalanannya untuk bertemu nabi Khidir. Yang pertama ialah keletihan yang dialaminya setelah menempuh perjalanan yang amat jauh. Ketika tertidur akibat kepenatan, berlaku satu peristiwa aneh. Ikan yang dibawa mereka sebagai bekalan tiba-tiba hidup dan melompat berenang ke laut.

Peristiwa ini disaksikan oleh muridnya Yusya’ bin Nun. Malangnya, syaitan telah menjadikan beliau lupa untuk menceritakan hal tersebut kepada Nabi Musa. Lalu mereka meneruskan perjalanan yang jauh sehingga Nabi Musa sekali lagi keletihan.

Kejadian ini menunjukkan bahawa pertemuan dengan Nabi Khidir bukan sahaja akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan, malah syaitan akan turut datang untuk mengagalkannya. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa sering bertemu dengan Nabi Khidir tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan, maka kita perlu bertanya adakah yang datang itu benar-benar Nabi Khidir atau syaitan yang cuba memesongkan kita? Sama-sama kita fikirkan.

Syarat untuk belajar dari Khidir

Kisah ini diteruskan dengan firman Allah S.W.T. dalam ayat 66-70:

Musa berkata kepada hamba Allah itu, “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu dari apa yang telah Allah ajarkan pada kamu?” Jawab hamba Allah itu:” Sesungguhnya kamu Musa sekali-kali tidak sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu.” Musa pun menjawab,

“Insya Allah kamu akan mendapati aku seorang yang sabar dan tidak akan menentang kamu dalam sesuatu urusan pun.” Hamba Allah itu berkata, “Jika kamu mengikutiku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.”

Dari ayat di atas, terdapat perbezaan antara permintaan Musa yang penuh dengan kesopanan dengan jawapan Khidir yang tegas menyatakan bahawa Musa tidak akan mampu bersabar dengannya. Dialog ini membuka satu rahsia besar yang menjadi syarat utama untuk seseorang dikurniakan ilmu laduni iaitu sifat kesabaran yang tinggi dan sifat redha dengan apa yang terjadi.

Sejak awal lagi, Khidir telah mengingatkan Musa akan hal ini. Jika Nabi Musa yang dikurniakan ilmu dari kitab Taurat dan mukjizat yang hebat pun tidak mampu bersabar, inikan pula kita manusia biasa yang sangat cetek ilmu.

Jika Nabi Musa yang dikurniakan kelebihan dapat berdialog secara terus dengan Allah pun dikenakan syarat supaya jangan bertanya, bagaimana pula dengan kita yang sering mempersoalkan ketentuan dan takdir Allah.

Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa mempelajari ilmu laduni tanpa dilengkapi sabar dan redha, maka kita perlu menyiasat adakah yang mengajar itu benar-benar Nabi Khidir atau pun tidak. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Pahang

___________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram