Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melambai tangan kearah media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEPUTUSAN untuk membentuk kerajaan persekutuan dan memilih Perdana Menteri semakin menghampiri kemuncak hari ini apabila tiga pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Ketiga-tiga pemimpin kanan BN itu ialah Pengerusi, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohammad Hasan; serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Turut menghadap Yang di-Pertuan Agong ialah wakil pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada waktu yang sama.

Kesemua mereka kemudian dilihat meninggalkan Istana Negara selepas hampir 40 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pemimpin BN yang memasuki Istana Negara pada jam 10.45 pagi dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 11.25 pagi.

Baca lagi: Agong belum buat keputusan, tidak timbul soal kerajaan minoriti – Anwar

Bagaimanapun, kesemua mereka tidak memberhentikan kenderaan dan memberikan sebarang kenyataan hasil daripada sesi berkenaan.

Dalam pada itu, calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tenang menanti keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau hanya memberi reaksi spontan ‘tengok wayang’ ketika ditanya berkenaan destinasi yang ingin dituju ketika keluar dari kediaman beliau di Bandar Sungai Long.

Ahli Parlimen Tambun itu dilihat keluar dari rumahnya sekitar jam 11.22 pagi dan sempat menyapa petugas-petugas media yang berkampung di hadapan kediamannya sejak jam 9 pagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram