PIHAK polis diminta menyiasat kandungan surat yang dikatakan suatu cubaan menipu dan menghina Yang di-Pertuan Agong oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia berhubung isu sokongan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, jika perkara itu benar, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan.

“Memang patut surat itu disiasat sebagai cubaan menipu dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Beliau patut berasa malu dengan tindakan berulang kali terhadap Yang di-Pertuan Agong, cuma dulu kita tidak membuat laporan polis,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Baca artikel lain: BN sokong Anwar? Agong cuba ditipu sekali lagi? – Annuar Musa

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, petang tadi.

Tun Faisal juga berharap Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dapat mengusulkan tindakan terhadap Ahmad Zahid kerana melanggar dan membelakangkan parti untuk tidak menyokong mana-mana pihak serta mengambil pendirian berkecuali.

Berikutan itu, katanya, beliau akan membuat aduan kepada MKT UMNO dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau juga mahu supaya Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden parti dan bertanggungjawab terhadap kandungan surat yang tular itu.

“Hari ini, beliau sudah membelakangi bukan saja keputusan Dewan Tertinggi BN tetapi keputusan MKT iaitu ‘No Anwar, No DAP’,” katanya.

Sebelum ini, Tun Faisal dilaporkan berkata, Ahmad Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas gerakan untuk membawa UMNO menyokong Anwar gagal beberapa kali.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram