Tun Dr. Mahathir Mohamad - GAMBAR: Abd Razak Aid
  1. PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan perasaan sedih apabila gagal meraih sebarang kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau bagaimanapun kekal positif dan menerima pilihan yang dilakukan rakyat.

Ujar Dr Mahathir, beliau juga berharap kerajaan baharu yang akan dibentuk oleh gabungan parti yang menang dapat memulihkan kembali segala masalah dalam negara.

“Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam dewan.

“Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugur. Yang boleh dilakukan oleh Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang.

“Pejuang berdoa siapa juga yang menjadi Kerajaan Malaysia akan dapat pulih segala masalah yang akan dihadapi oleh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca lagi: Lebih baik Tun M bubar Pejuang, kembali pada UMNO – Annuar

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga Bapa Permodenan negara memaklumkan, beliau akan memberi tumpuan kepada penulisan berkenaan sejarah dan aktiviti dalam negara.

Jelas beliau, banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum direkod termasuk yang berlaku pada zaman British.

“Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis,” katanya.

Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz gagal mempertahankan kerusi masing-masing, selain kedua-duanya hilang wang deposit apabila memperoleh jumlah undi sangat rendah.

Selepas beberapa dekad, Dr Mahathir, 97, yang juga calon tertua pada PRU-15, menyaksikan kegagalannya menambat hati pengundi di Langkawi apabila hanya memperoleh 4,566 undi.

Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang memperoleh 25,463 undi.

Mukhriz yang juga Presiden Pejuang turut kecundang di Parlimen Jerlun selepas hanya meraih 3,144 undi dan ditewaskan Yang Dipertua Pas Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad.

Selain itu, lima calon Pejuang yang bertanding merebut lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang dilaporkan hilang wang pertaruhan selepas gagal memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira pada PRU15.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram