POLIS menahan seorang bekas aktivis dikenali sebagai Hew Kuan Yaw atau ‘Superman Hew’ di Puchong Jaya, Selangor hari ini bagi membantu siasatan berhubung ucapannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dengan dibantu JSJ Bukit Aman pada 7 malam.

Beliau berkata pada 17 Nov lepas, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas video tular memaparkan Hew sebagai antara penceramah yang memberikan ucapan dalam Bahasa Kantonis dan dipercayai mempunyai unsur-unsur boleh menggugat ketenteraman awam ketika berceramah di Raub Perdana, Kuantan.

“Sebahagian daripada rakaman video ceramah berkenaan telah ditularkan di dalam media massa serta media sosial dan mendapat reaksi negatif masyarakat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Baca artikel berkaitan: DAP seru kekal tenang, sabar tunggu keputusan Agong

Menurut Ramli, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Beliau berkata siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.

Ramli berkata Hew turut disiasat di bawah seksyen sama bagi ucapannya dalam satu program ceramah politik di Taman Pandan Mawar, Melaka pada 18 Nov lepas.

Katanya siasatan lanjut akan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur setelah permohonan reman dibuat.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram