Missy Jaafar bertanding dalam kategori 'Production Division - Ladies'.

SERAMAI 16 penembak mewakili Malaysia di dalam kejohanan IPSC Handgun World Shoot 2022 yang berlangsung di Pattaya, Thailand.

Terdiri daripada 15 atlet lelaki dan seorang wanita, mereka akan mengambil bahagian dalam empat kategori iaitu Production Division, Production Optic Division, Standard Division dan Open Division dalam kejohanan yang berakhir 3 Disember ini

IPSC Handgun World Shoot 2022 merupakan kejohanan menembak dunia tiga tahun sekali melibatkan penyertaan 1,653 atlet dari 75 buah negara.

Atlet Malaysia terdiri daripada tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (dua), Kelab Menembak Sasaran Shapadu (dua), Royal Perak Archers & Shooters Club (lima), E3 Marksmanship Centre (dua) dan Persatuan Menembak Clay Target Johor (dua).

Pengurus pasukan Malaysia, Mohd Faiz Khusni Ahmad berkata, kejohanan ini sangat dinanti-nantikan dalam usaha meraih pengalaman baharu dalam kalangan atlet yang terlibat.

Katanya, tiada sebarang sasaran diletakkan dalam kejohanan yang disifatkan sebagai besar ini namun beliau berharap atlet negara mampu berada di antara yang terbaik dalam kelompok penembak Asia Tenggara.

“Daripada segi skill lebih kurang sahaja (antara atlet Malaysia dan luar negara. Cuma kita kalah dari segi peralatan.

“Kemahiran sama, mungkin bila kita bawa atlet ke luar negara ada pihak yang tampil atau tertarik untuk menaja, kita pun tak tahu, kita cuba,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.

Dalam pada itu, Missy Jaafar yang merupakan satu-satunya penembak wanita teruja apabila diberi kesempatan untuk menyertai kejohanan pada edisi kali ini.

“Kami semua bersemangat untuk kejohanan IPSC Handgun World Shoot 2022 ini. Perasaan gugup dan gementar tetap ada apabila bertanding bersama penembak handalan dunia.

“Tetapi itu bukan alasan bagi kami untuk memberikan yang terbaik dan kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong penglibatan kami di IPSC Handgun World Shoot 2022 ini,” katanya yang bertanding dalam kategori ‘Production Division – Ladies’.

Seorang lagi atlet, Fitri Raman Sumpa dari PDRM yang bertanding dalam bahagian Main Match berjanji, akan memberi persembahan terbaik demi mengharumkan nama negara.

“Saya amat teruja dapat beraksi di kejohanan dunia menembak praktikal IPSC yang berlangsung di Pattaya, Thailand pada tahun ini bagi kategori terbuka.

“Kejohanan dunia peringkat tertinggi ini memberi peluang kepada saya serta penembak Malaysia bertanding bersama penembak-penembak handalan dunia yang lain.

“Walaupun penglibatan atlet Malaysia tidak seramai atlet dari negara-negara lain, kami semua tetap bersemangat untuk memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Selain menghantar atlet, kejohanan ini turut menyaksikan penglibatan 12 orang pegawai atau Range Officer (RO) dari Malaysia.

Chief RO Area 4, Andrian Salleh Hashim berkata, penglibatan RO Malaysia mendapat pengiktirafan serta pujian daripada penembak-penembak dan RO luar negara di atas komitmen serta kerjasama baik yang telah diberikan.

“IROA dan NROI dari Malaysia amat komited untuk kejohanan dunia pada tahun ini. Rata-rata RO dan penembak luar negara yang saya jumpa dilapangkan memuji sikap profesional serta komitmen yang telah diberikan oleh RO negara kita,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram