Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani sumpah simpan rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 dihadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR IHSAN: Jabatan Penerangan

SELEPAS 8,849 hari dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ahli UMNO iaitu 2 September 1998, tepat pukul 5.06 petang tadi, akhirnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Istiadat angkat sumpah itu juga memuktamadkan penantian 24 tahun sosok Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk bergelar Perdana Menteri.

Satu penantian panjang buat anak kelahiran Kampung Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu sejak 1998 mengangkat tema ‘reformasi’ pentadbiran.

Kerjaya politik figura ahli Parlimen Tambun itu sememangnya penuh liku dan warna-warni.

Dilahirkan pada 10 Ogos 1947, Anwar bukanlah nama asing dalam sejarah politik negara, malah nama beliau masyhur seantero dunia apatah lagi pernah diiktiraf Menteri Kewangan terbaik Asia.

Anwar, 75 yang mendirikan rumah tangga dengan bekas Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dikurniakan enam orang cahaya mata.

Salah seorangnya, Nurul Izzah turut mengikuti jejak langkah beliau dalam kancah politik susulan bapanya berdepan tuduhan salah guna kuasa dan liwat pada tahun 1998.

Berpendidikan awal di Bukit Mertajam Boys School, Anwar pernah belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) antara 1960 hingga 1966.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam Pengajian Melayu pengkhususan Saster pada 1967.

Ketika itulah kerjaya politik Presiden PKR ini bermula apabila menjadi Presiden Kesatuan Pelajar Islam Malaysia antara 1968 hingga 1971.

Anwar seterusnya dipilih Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971 sebelum menjadi Presiden pada 1974.

Pada tahun sama ketika memprotes kemiskinan dalam kalangan masyarakat di Baling, Kedah, Anwar pertama kali ditahan tanpa bicara selama 20 bulan di Pusat Tahanan Kamunting kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Baca artikel berkaitan: Anwar angkat sumpah Perdana Menteri Ke-10

Waktu itulah nama Anwar semakin bersinar dan dianggap ‘rising star’ yang perlu direkrut dalam arena politik.

Tun Dr Mahathir Mohamad menjemput beliau menyertai UMNO pada 1981 dan tidak menunggu lama melantiknya sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983.

Setahun kemudian, Anwar memikul peranan Menteri Pertanian sebelum diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan pada 1986.

Dilihat sebagai pengganti Mahathir, laluan itu tampak cerah apabila beliau diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993.

Waktu yang sama, Anwar juga merupakan Menteri Kewangan sejak tahun 1990 dan diangkat sebagai antara Menteri Kewangan terbaik yang pernah dimiliki negara.

Namun, panas tidak sampai ke petang apabila beliau dipecat pada 1998 susulan dakwaan rasuah dan menghalang siasatan terhadap tuduhan meliwat.

Pemecatan itu sekali gus mencetuskan gerakan reformasi yang melanda seluruh negara, bermula dari Masjid Negara di ibu negara.

Bermula daripada gerakan reformasi itu hingga dihukum penjara selama enam tahun pada 1999 itulah terlahirnya Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya bertukar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sabitan kesalahan liwat itu kemudian digugurkan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2004 tetapi beliau sekali lagi terpalit dakwaan liwat dan dijatuhi hukumen penjara lima tahun pada 2015.

Apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018, Anwar masih lagi berada di Penjara Sungai Buloh.

Beliau kemudiannya memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V sebelum bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

Hasrat menjadi Perdana Menteri terus malap apabila ‘Langkah Sheraton’ berlaku.

Bagaimanapun, perancangan Allah tetap yang terbaik apabila kini, selepas 24 tahun, 8849 hari, Anwar akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Kini, tugas berat sebenarnya dipikul Anwar untuk mentadbir negara apatah lagi Malaysia bakal berhadapan cabaran besar ekonomi tahun hadapan.

Mata semua pihak kini terarah pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Anwar.

Apa yang penting, titah Yang di-Pertuan Agong perlu dipegang bukan sahaja Anwar dan barisan Kabinet tetapi juga pemain-pemain politik serta rakyat umumnya.

“Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.

“Seri Paduka baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta Pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.”

Dua perenggan itu terkandung dalam kenyataan Istana Negara semasa mengumumkan Anwar sebagai Perdana Menteri hari ini jelas memberi maksud yang sangat mendalam.

Malah, Al-Sultan Abdullah turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Titah itu juga perlu menjadi pegangan Anwar dan barisan Kabinet sepanjang lima tahun ke hadapan supaya rakyat tidak lagi dibebankan dengan kemelut politik.

Lebih penting, rakyat amat memerlukan sebuah kerajaan di bawah pimpinan seorang Perdana Menteri yang boleh memacu Malaysia ke arah positif.

Rakyat menanti kepimpinan berintegriti Anwar, peluang lima tahun ini perlu digunakan sebaiknya.

Sejarah telah tercipta, kerja perlu bermula, selamat berkhidmat, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim!

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram