DI sebalik kejayaan sebagai seorang bintang yang bersinar terang di industri hiburan, penyanyi Siti Nordiana telah melalui pelbagai dugaan dan ujian apabila memilih untuk fokus kepada rumah tangga selepas berkahwin.

Terbaharu di TV9, siaran drama bersiri 13 episod, Aku Seorang Perempuan, inspirasi daripada novel biografi Siti Nordiana yang ditulis oleh Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin telah mula ditayangkan sejak 19 November lalu, setiap Sabtu dan Ahad, pukul 7.30 malam.

Drama bersiri 13 episod ini merupakan arahan Hashim Rejab, terbitan Brotherhood Studio dan Inisiatif Seni Kreatif serta menampilkan pelakon-pelakon popular tanah air seperti Atikah Suhaime, Fezrul Khan, Adriana Adnan, Hafidz Roshdi, Hasnul Rahmat, Aleza Shadan dan ramai lagi.

Aku Seorang Perempuan mengisahkan tentang Siti Nor Aisya (Atikah Suhaime), seorang penyanyi muda yang sedang mengecapi populariti dan mempunyai ramai peminat yang menjadi sokongan kuat dalam kerjayanya.

Siti Nor Aisya bertemu cinta dengan seorang pelakon popular, Fareez (Fezrul Khan). Mereka berdua berkahwin atas dasar cinta. Bagi Siti Nor Aisya, dia sanggup mengorbankan kerjayanya yang sedang berada di puncak kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga.

Adriana (Adriana Adnan) ialah seorang pelakon yang berkawan baik dengan Fareez. Adriana mempunyai masalah dengan kekasihnya, dan sering menemui Fareez untuk meluahkan masalah.


Hubungan mereka menjadi semakin akrab dan ia mula menimbulkan rasa tidak senang dalam hati Siti Nor Aisya. Mahligai cinta yang dibina mula goyah dan diduga.

Akhirnya, Siti Nor Aisya diceraikan ketika anak mereka masih kecil. Dalam saat dia perlu bangkit dan mencari kekuatan untuk menyara anak kecilnya, Siti Nor Aisya diuji lagi dengan kehilangan teman baik sejak kecil iaitu Hakim (Hafidz Roshdi) yang juga teman seperjuangannya dalam bidang nyanyian. Bagaimanakah Siti Nor Aisya mencari kekuatan dalam hidupnya untuk terus berjuang?

Sementara itu, Siti Nordiana juga berkongsi tentang perasaannya apabila buku biografinya menjadi inspirasi untuk penerbitan drama Aku Seorang Perempuan.

“Drama Aku Seorang Perempuan tidak semua tentang kisah hidup Nana, bukanlah 100 peratus diterjemahkan.

“Namun, jalur kerjaya dalam drama ini memang berkisarkan kerjaya Nana secara lebih mendalam dari zaman kanak-kanak, persekolahan hingga bergelar penyanyi.

“Apabila kisah digarap sebagai biografi oleh penulisan Datuk Tengku Khalidah yang Nana panggil sebagai Kak Long, kebanyakkanya menceritakan tentang rahsia kehidupan Nana dari kecil sehingga sekarang.

“Nana berharap agar perkongsian ini dapat menjadi semangat dan panduan untuk wanita-wanita lain dalam meniti arus kehidupan yang penuh mencabar ini,” katanya.