Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan dan setia sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR IHSAN: Jabatan Penerangan

AHLI Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara sebentar tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada pukul 5.00 petang.

Anwar, 75, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu hari ini memutuskan untuk melantik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri baharu.

Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan berhubung pelantikan tersebut selepas memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Ia selaras dengan kuasa Seri Paduka yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong mengadakan pertemuan bersama Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah.

Baca artikel lain: Anwar tiba di Istana Negara istiadat angkat sumpah

Dalam perjumpaan itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan, bagaimanapun, PN tidak bersetuju dengan cadangan kerjasama dengan PH.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong mahu berjumpa 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya perjumpaan itu ditangguhkan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap Ahmad Zahid, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebelum sekali lagi menyatakan idea Kerajaan Perpaduan.

Turut menghadap pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Upacara turut disaksikan Ahmad Zahid; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram