Datuk Seri Anwar Ibrahim akan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri pada jam 5.00 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERBINCANGAN Khas Majlis Raja-Raja Melayu memutuskan untuk melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan berhubung pelantikan tersebut selepas memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Jelas beliau, proses seterusnya adalah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri pada jam 5.30 petang ini.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

“Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ianya bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan,” katanya dalam kenyataan.

Baca lagi: Tiga pemimpin kanan BN selesai menghadap, Anwar kata keluar tengok wayang

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

Ujar beliau, Seri Paduka turut berpesan; bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu Baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat turut dingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram