Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. GAMBAR: BERNAMA

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) akur dengan apa sahaja keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, GRS berpendirian bahawa perlu pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.

Pada masa sama, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, gabungan itu turut berpendirian bahawa penubuhan kerajaan perpaduan perlu inklusif dan melibatkan Kerajaan Sabah serta Sarawak yang diberi mandat oleh rakyat.

“GRS senada dengan GPS untuk akur kepada apa saja keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Untuk memastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Agong titah GPS pertimbang tubuh kerajaan perpaduan

Kemelut politik negara berpanjangan memasuki hari kelima apabila berdepan situasi Parlimen tergantung selepas tiada mana-mana parti berjaya memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Dalam PRU15, PAS menang 49 kerusi Parlimen, tertinggi bagi mana-mana parti tunggal sekali gus membolehkan gabungan disertainya Perikatan Nasional (PN) meraih 73 kerusi.

Pakatan Harapan pula menang 82 kerusi sekali gus menjadi gabungan yang mendapat kerusi tertinggi.

Bagaimanapun, jumlah kerusi PH berkenaan belum mencukupi untuk majoriti mudah 112 kerusi sekali gus dapat membentuk kerajaan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula berjaya meraih 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang di enam kerusi Parlimen di Sabah, selain Parti Warisan (WARISAN) dengan tiga kerusi Parlimen.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram