Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. GAMBAR: Facebook Abdul Hadi

“KEKAL tenang. Kita sedang usahakan. Kita masih di hadapan.”

Itu kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ciapan di Twitter berkemungkinan merujuk kepada usaha gabungan itu untuk membentuk kerajaan.

Berdasarkan ciapan tersebut, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas meminta penyokong parti tersebut kekal tenang kerana pimpinan masih berusaha.

Pada masa sama, beliau juga memberi jaminan bahawa gabungan itu masih berada di hadapan dalam usaha PN menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara,” katanya.

Beliau turut mengakhiri ciapan itu dengan menulis ‘Abdul Hadi Awang, Putrajaya’.

Kemelut politik negara berpanjangan memasuki hari kelima apabila berdepan situasi Parlimen tergantung selepas tiada mana-mana parti berjaya memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Baca artikel berkaitan: Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bermula pagi ini

Dalam PRU15, PAS menang 49 kerusi Parlimen, tertinggi bagi mana-mana parti tunggal sekali gus membolehkan gabungan disertainya Perikatan Nasional (PN) meraih 73 kerusi.

Pakatan Harapan pula menang 82 kerusi sekali gus menjadi gabungan yang mendapat kerusi tertinggi.

Bagaimanapun, jumlah kerusi PH berkenaan belum mencukupi untuk majoriti mudah 112 kerusi sekali gus dapat membentuk kerajaan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula berjaya meraih 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang di enam kerusi Parlimen di Sabah, selain Parti Warisan (WARISAN) dengan tiga kerusi Parlimen.

Sesi rundingan antara semua gabungan utama berkenaan sejak Ahad lalu masih gagal memutuskan seorang Ahli Dewan Rakyat yang memiliki sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan pembentukan kerajaan Persekutuan bermula pagi tadi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara.

Seawal jam 10.29 pagi, Raja-Raja Melayu berangkat tiba di Istana Negara hari ini bagi menghadiri Perbincangan Khas tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram