Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka menerima mana-mana parti politik lain untuk menyertainya, ini termasuklah Perikatan Nasional (PN).

Meskipun jawapan awal yang diberikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung idea pembentukan Kerajaan Perpaduan dibantah.

Anwar berkata, kerajaannya kini dianggotai oleh tiga blok politik terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sawarak (GPS).

“Kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini menetapkan penyertaan setakat ini tiga komponen terbesar Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan GPS.

“Jadi soal kestabilan tidak berbangkit, soalnya apakah Kerajaan Perpaduan yang juga disertai beberapa parti lain termasuk Warisan, MUDA dan Bebas.

“Saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini satu, saya masih tunggu kesediaan rakan-rakan termasuk dari Perikatan Nasional,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Baca artikel lain: Kedudukan Islam, Bumiputera dan bahasa Melayu terjamin – PM

Anwar pada masa sama memberitahu bahawa sidang Parlimen ke-15 akan dilangsungkan pada 19 Disember depan.

Katanya, perkara utama yang akan dibawa semasa sidang Parlimen berkenaan adalah berkenaan dengan undi percaya.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa kita sudah tetapkan sidang Parlimen pada 19 hari bulan.

“Dan usul pertama selain daripada mengangkat sumpah ialah usul dari kerajaan, undi percaya di Parlimen. Jadi tidak timbul keresahan kita tentang keabsahan yang ada,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram