Pada Sabtu, 19 November 2022 nanti, dalam kalangan lebih 20 juta rakyat yang layak mengundi, akan mempamerkan keberanian luar biasa mereka memilih calon wakil rakyat untuk diamanahkan berada di Dewn Rakyat Parlimen Malaysia. GAMBAR: Abd Razak Aid

Rakyat telah memilih wakil mereka untuk diletakkan di Parlimen. Proses itu
muktamad tanpa sebarang kekecohan.
Kini giliran wakil rakyat yang terpilih itu pula membuat pemilihan siapa dalam kalangan mereka paling layak dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri.

Proses ini
belum muktamad dan timbul pelbagai kekecohan.
Takrifannya cukup mudah, rakyat sebagai pengundi cukup matang dalam membuat keputusan. Akan tetapi, wakil rakyat yang mereka pilih sedang diuji kematangan mereka.

Ada beberapa rintangan dihadapinya dalam membuat keputusan yang satu itu.
Pengadil kepada percaturan dalam pemilihan Perdana Menteri ini ialah Yang di-Pertuan Agong yang buat pertama kali dalam sejarah pemerintahan negara terpaksa tampil
dengan tahap kebijaksanaan amat tinggi, menangani kemelut kepimpinan yang berterusan sejak PRU-14. Salah-salah hemat kemelut sebegini akan berlarutan sehingga PRU-16 malah PRU-17.

Sebagai pengadil menangani kemelut ini, Yang di-Pertuan Agong dilihat semakin matang. Jika dalam PRU-14 dulu baginda hanya merujuk kepada siapa calon yang boleh membuktikan kepadanya memiliki majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan, kali ini baginda tidak lagi hanya bersandar kepada satu barometer itu saja. Tidak cukup.

Kali ini baginda hendakkan kepastian calon yang hendak dipilih sebagai Perdana Menteri bukan saja memiliki sokongan yang mencukupi, lebih daripada itu baginda hendakkan kepastian daripada pemimpin berkenaan akan jaminan kemampuannya
memimpin jentera kepimpinan negara melengkapi penggal PRU-15.

Baginda tidak mahu sejarah pertukaran kerajaan berlaku selang beberapa bulan, seperti mana dalam dalam penggal PRU-14. Jika insiden itu berulang, aspek keselamatan dan pembangunan ekonomi akan terjejas teruk.

Apatah lagi dengan kegawatan ekonomi yang kian terasa, diparahkan pula dengan persaingan kerancakan pembangunan di beberapa negara jiran anggota ASEAN.

Semakin banyak negara jiran yang semakin jauh meninggalkan kita,. Malaysia diramal berada di tangga ketujuh dalam kalangan 10 negara ASEAN, dengan hanya Kemboja, Laos dan Myanmar saja yang masih berada di belakang negara kita saat ini dalam masa rakyat sibuk menyusun opsyen kemungkinan kerajaan campuran
yang bakal terbentuk.

Saya pun terikut-ikut sama, menyusun opsyen manakah yang agaknya akan berjaya menghasilkan formula pembentukan kerajaan stabil, makmur, aman, harmoni, bersih, cekap dan amanah, yang mampu mengembalikan zaman kegemilangan dulu.

Pada hemat saya, ada dua teraju utama gagasan politik yanag menguasai dua kutub politik yang bertentangan. Satu dikuasai PH yang didepani PKR tetapi di belakangnya dikemudi DAP.

Satu kutub lagi kini diterajui PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan PGRM. PN berjaya mengenepikan BN yang tewas teruk buat pertama kalinya dalam sejarah politik tanah air apabila kehilangan kerusi di sembilan negeri, dua kepada PH dan tujuh kepada PN.

BN sudah lumpuh. Akan tetapi, disebabkan penguasa kedua-dua kutub politik itu PH dan PN masing-masing tidak memiliki bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan, peranan BN yang lumpuh tetap ditagih dan masih menjadi penentu proses pembentukan kerajaan.

Maka terhasilah banyak opsyen yang setiap satunya ada batu penghalangnya,
menyukarkan pembentukan kerajaan yang stabil yang rakyat hendakkan.

Saya kongsikan enam opsyen mengikut percaturan yang saya buat dengan opsyen pemutus di tangan Yang di-Pertuan Agong.

Opsyen 1: PH-PN bergabung membentuk kerajaan, 82 +73 = 155 kerusi. Lebih daripada mencukupi, malah lebih dua pertiga.
Halangannya: PN ada satu sekutu ekstrem, iaitu PAS dengan bilangan kerusi terbesar pertama kali dalam sejarah politik tanah air, iaitu 49. PH juga ada satu sekutu ekstrem, iaitu DAP yang sebati dengan labelnya sebagai parti yang amat cauvinis dan tegar dengan agenda rasisnya.

PAS dan DAP amat sengit berkonfrantasi, sekalipun mereka pernah bersama sebagai pembangkang. PAS menuduh DAP bersekongkol dengan komunis manakala DAP pula melabelkan PAS dengan jenama Talibanism.

PAS juga berseteru dengan Amanah, manakala Bersatu pula tidak akan selesa dengan PKR.

Maka, opsyen 1 ini nampaknya sukar nak menjadi. BN pun dah tahu maka BN pun berani menjolok sarang tebuan. BN berani ke tepi bagi memberi laluan untuk PN dan PH bersatu membentuk kerajaan. Nampak seolah-olah BN baik hati memberi
laluan.

Opsyen 2: PN (73) pelawa BN (30), GPS (23), GRS (6) dan Warisan (3).
Jumlah kerusi 135. Cukup selesa.

Halangannya juga banyak. Bersatu tegar nak UMNO berkubur dan PAS tegar menolak UMNO. GPS pula tak selesa dengan PAS yang terlekat dengan jenama Talibanism kerana dalam GPS ada bumiputera bukan Islam yang tak selesa dengan PAS.

GPS juga berpandangan jenama yang terpalit pada PAS itu menakutkan pemain pasaran modal dan pelabur, maka secara langsung kehadiran PAS boleh menggencatkan usaha pemulihan dan pembangunan ekonomi.

Sehingga kini pun belum terdengar usaha PN secara rasmi mempelawa BN menyertainya sekalipun difahamkan ada nama-nama BN yang dimasukkan ke dalam senarai PN membentuk kerajaan.

Tindakan PN ini menyebabkan BN berpecah kepada tiga kem, pro-PH, pro-PN dan kem yang memilih untuk menjadi
pembangkang. Maka opsyen ini masih tergantung dan sekadar menaruh harapan.

Opsyen 3: PH (82) pelawa BN (30), pujuk GPS (23), GRS (6) dan Warisan (3). Jumlah 141.
Lebih daripada mencukupi.

PH sudah menyembah BN memujuknya untuk menyertai kem mereka. Majoriti dalam kalangan BN tegar menolak, hanya kerana kehadiran DAP yang ekstrem. Begitu juga GPS tegar menolak PH atas sebab yang sama.

Hingga kini opsyen ini masih tergantung sekalipun ada usaha pro-PH dalam BN cuba memutarbelitkan ketetapan Dewan Tertinggi BN.

Opsyen 4: Kerajaan uniti Bumiputera-Islam.
PN (73) bersama PBB (13), UMNO (26), PAN (8), Warisan (3) dan GRS (6). Jumlah 129.

Cukup bilangan tapi tak stabil kerana terlalu ekstrem kepada keIslaman, sekaligus akan mencetuskan ancaman keselamatan kaum dan agama. Pelabur dan pengurus pasaran modal juga akan menjauhi Malaysia. Dalam suasana kemajmukan semasa di negara ini, opsyen ini amat sensitif.

Opsyen 5: Kerajaan uniti diterajui Bumiputera tanpa dua blok ekstrem, PAS (49) dan DAP (40).

PN tanpa PAS (24), BN (30), PH tanpa DAP (42), GPS (23), GRS (6) dan Warisan (3). Jumlah 128. Sudah mencukupi.

Juga sukar untuk jadi kenyataan, kerana:
PN belum rela tanpa PAS.
PH tidak akan rela tanpa DAP. Nampaknya, pusing ikut mana sekalipun kesemua lima opsyen itu sukar untuk terjadi.

Opsyen 6: Ini opsyen terakhir. Ia berbalik kepada Opsyen 2 dengan
beberapa saranan kemesraan. PN (73) pelawa BN (30), GPS (23), GRS (6) dan Warisan (3), dengan beberapa pertimbangan mesra, terutama;
 Tunggak utama PN iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang berjiwa besar sebagai pemimpin Islam, bermaafan dengan semua pihak, terutama BN, untuk berdamai dengan sepenuh keikhlasan dan membenam segala niat yang
tidak sihat yang terpendam sekian lama di antara mereka.

 PAS lekangkan jenamanya sebagai Talibanism, untuk ia dilihat sebagai parti berteraskan Islam yang progresif, mesra politik dan mesra pembangunan. Ia akan sekaligus membuatkan GPS selesa bersamanya.

 Semua parti politik dari Semenanjung Tanah Melayu iaitu UMNO, Bersatu dan PAS keluar dari Sarawak dan Sabah, sebaliknya membantu GPS untuk lebih perkasa di Sarawak manakala GRS menyamai GPS untuk lebih perkasa di Sabah.

Dengan komposisi dan pertimbangan itu gagasan baharu ini akan dilihat oleh rakyat sebagai kurang ekstrem dan lebih mesra dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira ras, entik, agama dan wilayah.

Realitinya, insiden “twist-and-turn” berterusan, malah semakin rancak. Ini petanda kurang sihat sebenarnya.

Andai kata, dengan enam opsyen itu pun masih juga bertemu jalan buntu, insiden “twist-and-turn” berterusan, manakala Yang di-Pertuan Agong pula terpaksa mengelak Parlimen tergantung terlalu lama, opsyen penamat ini teramat wajar untuk diterima semua.

Sebelum 31 Disember 2022 keputusan wajib dibuat untuk meluluskan Belanjawan 2023. Justeru, baginda ada opsyen tersendiri di tangannya, iaitu mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Organisasi Pentadbiran Negara (OPN).

OPN
(kerajaan uniti dan peralihan), untuk tempoh enam bulan dengan opsyen ia dilanjutkan sehingga kesemua 222 wakil rakyat dapat berkompromi memilih seorang Perdana
Menteri yang secara kolektifnya diamanahkan menerajui kepimpinan negara sepenuh penggal PRU-15 ini.

OPN ini kuasanya seakan-akan Jemaah Menteri dengan Yang di-Pertuan Agong selaku Supreme Commander. Baginda adalah pemerintah dan turut berperanan menyamai Perdana Menteri.

Ada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Perkara 40 (1) dan (1A), Perkara 150 (1), (2) dan (2B), Perkara 32 dan Perkara 39, yang boleh baginda gunakan bagi tujuan-tujuan yang dinyatakan.

Jika perlu di lain rencana saya boleh perincikan kesemua peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu. Hakikatnya:
Baginda boleh memberikan sebanyak mana masa yang kesemua 222 wakil
rakyat perlukan bagi memutuskan siapa calon Perdana Menteri mereka.

 Negara tiada masa untuk meluluskan belanjawan 2023, jika tidak, tahun depan kerajaan tidak dapat berfungsi.

 Rakyat tiada masa untuk menunggu kerajaan Parlimen terbentuk kerana pembangunan ekonomi berjalan terlalu pantas dan tidak menunggu kita. Sehari kita terlewat, mungkin banyak peluang ekonomi akan terlepas disambar oleh negara-negara jiran yang jauh lebih stabil politiknya.

Ampun Tuanku, semua mata dan perhatian rakyat jelata kini tertumpu kepada kebjiaksanaan dan kepantasan Tuanku bertindak. Patik sekalian menanti dengan penuh kesabaran, sekalipun telah mula kedengaran di sana sini segelintir rakyat yang mula tidak dapat mengawal kesabaran mereka.
Ampun Tuanku.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)