Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMIMPIN-PEMIMPIN politik dari pelbagai parti dalam negara mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri petang ini.

Antara yang terawal ialah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Syed Saddiq menzahirkan ucapan tahniah dan berkongsi kegembiraan bersama atas pelantikan Anwar itu.

“Tahniah tuan, bersama-sama kita menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik,” katanya.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng juga turut mengucapkan tahniah kepada Anwar, Perdana Menteri pertama yang dilantik daripada kalangan Ahli Parlimen Perak.

“Tahniah kepada Perdana Menteri pilihan rakyat Malaysia, Anwar Ibrahim. Menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan Baginda melantik Anwar dan membentuk Kerajaan Perpaduan mewakili seluruh rakyat Malaysia.

“Marilah kita bersatu bersama Anwar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan memastikan kemajuan ekonomi untuk semua,” katanya.

Baca lagi: Anwar Ibrahim sah Perdana Menteri Ke-10

Tidak terkecuali, Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Biarpun tidak menyatakan secara langsung, Ahmad Zahid berkongsi kenyataan Istana Negara berhubung perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Titah media Istana Negara…Daulat Tuanku!!!,” kongsinya ringkas di Facebook.

Untuk rekod, selepas dua rekod menjadi Ketua Pembangkang, Anwar kini mencipta sejarah baharu dalam negara apabila dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10.

Pelantikan itu selepas beliau berjaya mengemudi PH untuk meraih 82 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sememangnya telah melalui pelbagai turun naik dalam arena politik negara.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram