PENGARAH filem Azhari Zain, 50, meninggal dunia di kediamannya, pukul 12.15 tengah malam tadi selepas sembilan bulan menderita akibat diserang angin ahmar.

Berita duka itu dikongsikan Isterinya, Wahizatul Nureen Azmi atau mesra disapa Nureen menerusi kiriman Whatsapp.

“Assalamualaikum, Al-Fatihah buat suami saya Azhari Mohd Zain. Allah lebih menyayangi beliau. 

“Semoga dipermudahkan urusan arwah. Semoga arwah ditempatkan bersama para solihin,” tulisnya.

Terdahulu menerusi laporan media, Allahyarham yang juga pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berada dalam keadaan sihat dan menjalani rawatan alternatif di rumah.

Arwah sebelum ini dirawat di Hospital UiTM selama tiga bulan sejak diserang angin ahmar pada Februari lalu sebelum dibenarkan pulang ke kediamannya di Shah Alam.

Azhari memulakan karier seni pada 2004 dan pernah menjadi penulis dalam beberapa filem antaranya Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.

Selain itu, Azhari juga pernah mengarahkan filem seperti Santau, 7 Petala Cinta, Hantu Dalam Botol Kicap, Mantra, Flat 3A, Zoo dan banyak lagi.

Naskhah terakhir arahannya ialah filem Siku 12: Langkah Derhaka yang ditayangkan di pawagam Oktober lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Wahizatul Nureen dan tiga cahaya mata.

Jenazah akan dimandi dan dikapankan di Masjid Ar-Raudhah, Seksyen U10, Puncak Perdana, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Paip, Meru, Klang, pukul 10 pagi.