Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli GAMBAR: Abd Razak Aid

“TIDAK ada sebarang perhimpunan oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan risiko provokasi.”

Itu nasihat Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sejurus selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pada masa sama, Rafizi turut menyeru semua rakyat Malaysia terutama penyokong dan anggota PKR, Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk meredakan keadaan.

Rafizi juga menasihatkan supaya semua pihak berhati-hati dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh politik.

Selain itu, beliau turut menasihatkan masyarakat berhati-hati dengan sebarang kandungan di media sosial atau pesanan ringkas yang boleh menimbulkan kerisauan atau dijadikan alasan untuk provokasi.

“Bagi pihak PKR dan rakan-rakan dalam PH, saya menyembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong yang telah bertitah memperkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri yang akan mengetuai sebuah Kerajaan Perpaduan.

Baca artikel berkaitan: Anwar Ibrahim sah Perdana Menteri Ke-10

“Seperti mana pimpinan PKR dan PH tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang usaha membentuk Kerajaan Perpaduan berlangsung (sejak keputusan PRU-15 dimuktamadkan), saya menyeru supaya semua rakyat Malaysia, terutamanya penyokong dan anggota PKR, PH dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk meredakan keadaan.

“Kita semua perlu bergerak ke hadapan dan belajar bekerjasama untuk membina kembali Malaysia, demi masa depan dan kemakmuran setiap rakyat dari semua kumpulan, kaum, negeri dan latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu memutuskan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan berhubung pelantikan tersebut selepas memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Jelas beliau, proses seterusnya adalah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri pada jam 5.30 petang ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram