kisah nabi musa menuntut ilmu
Sekadar gambar hiasan

Dilanjutkan kisah ini dengan firman Allah S.W.T. dalam ayat 71-73,

“Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki bahtera lalu Khidir melubanginya. Musa berkata, “Mengapa kamu melubangi bahtera itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.’ Dia (Khidir) berkata: ‘Bukankah aku telah berkata: ‘Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku.’ Musa berkata: ‘Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.’

Ayat ini membuktikan kebenaran peringatan awal yang diberikan oleh Khidir kepada Musa. Tindakan aneh Khidir memecahkan dinding bahtera milik nelayan yang ditumpangi secara percuma itu menimbulkan persoalan di hati Musa. Sebab itulah Musa telah diberi peringatan agar berdiam diri dan merahsiakan sahaja apa yang terlintas di hati.

Artikel berkaitan: siri 2: Rahsia mencapai ilmu laduni dan siri 1: Dakwaan didatangi nabi khidir a.s dan belajar ilmu laduni sejauhmana kebenarannya

Kisah ini sebenarnya memberi pengajaran bahawa seseorang yang dikurniakan ilmu laduni perlu bersabar dan menahan diri dari mempersoalkan apatah lagi bercerita tentang keajaiban dan keanehan ilmu kepada sesiapa.

Oleh itu, sekiranya kita mendakwa memperolehi ilmu laduni dan asyik menceritakannya kepada orang, maka kita perlu bertanya adakah benar itu ilmu laduni? Sama-sama kita fikirkan.

Khidir membunuh kanak-kanak

Dalam ayat berikut Allah S.W.T. melalui firman Nya dalam ayat 74-76 menyebut,

Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata: ‘Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih itu, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar.’ Khidir berkata: ‘Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku?’ Musa berkata: ‘Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah engkau memperbolehkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.’

Jika tadi Musa diuji oleh Khidir dengan kerosakan pada harta, sekarang Musa diuji pula dengan pembunuhan yang dilakukannya ke atas seorang kanak-kanak. Sebagai seorang Nabi yang memahami syariat, Musa dengan lantang bertanya Khidir tentang perkara itu.

Lantas Khidir kembali mengingatkan Musa bahawa dia tidak akan mampu bersabar bersamanya. Begitulah ujian demi ujian yang harus dilalui oleh seseorang yang ingin mendapatkan ilmu dan hikmah dari Nabi Khidir. Sabar dan redha sebenarnya adalah kunci kepada ilmu laduni.

Justeru, seharusnya kita fikirkan adakah tahap kesabaran kita mencapai tahap kesabaran Nabi Musa yang tergolong dalam salah seorang Rasul yang mempunyai keazaman yang teguh (ulul Azmi)?

Khidir membaiki tembok

Allah S.W.T. seterusnya berfirman dalam ayat 77-78,

Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mau menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata: ‘Jikalau kamu mau, nescaya kamu mengambil upah untuk itu.’ Khidir berkata: ‘Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Aku akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.

Dalam kejadian terakhir ini, kedua-duanya tiba di sebuah desa dalam keadaan tersangat letih, haus dan lapar. Mereka berdua meminta makanan daripada penduduk desa itu, tetapi penduduk desa enggan menjamu mereka. Dalam keadaan itu, Khidir berusaha membina semula dinding sebuah rumah yang hampir roboh di desa itu.

Perbuatannya membuatkan Musa kehairanan lalu bertanya mengapa tidak diambil upah atas kerjanya itu. Peristiwa ini menunjukkan bahawa seorang yang ingin berguru atau bersahabat dengan Khidir mestilah mempunyai sifat ikhlas yang tinggi. Dia seharusnya tidak menjadikan sikap buruk seseorang sebagai penghalang untuk dia berbakti kepada orang lain.

Apa yang diharapkannya hanyalah keredhaan Allah, bukannya habuan dunia. Ada ulama mengatakan bahawa pertanyaan Musa kepada Khidir tentang kejadian pertama (merosakkan bahtera) dan kejadian kedua (membunuh kanak-kanak) masih boleh dimaafkan oleh Khidir kerana Musa berbuat demikian demi kebaikan umat dan berlandaskan hukum syariat.

Namun, apabila Musa mempersoalkan bayaran upah atas kerja yang dilakukan, pertanyaan tersebut mempunyai unsur keduniaan dan kepentingan diri. Pertanyaan itulah yang menjadi titik pemisah antara mereka berdua.

Oleh itu, bagi seseorang yang benar-benar belajar ilmu laduni dari Nabi Khidir, sudah pasti dia dapat memahami dan mengerti akan makna sebenar ikhlas dan ihsan. Bersambung…

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Pahang

______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram