FILEM Split Gravy arahan Datuk Zahim Al-Bakri mendominasi 14 kategori pada Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) yang akan berlangsung pada 2 Disember ini.

Antara kategori yang berjaya dibolosi ialah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Juliana Ibrahim), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Zahim Albakri), Pelakon Wanita Terbaik (Bernie Chauly), Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Datuk Rahim Razali).

Selain itu, Rekaan Busana Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Wanita Harapan (Bernie Chan dan Joelah Charles), Cerita Asal Terbaik dan Pengarah Harapan.

Sementara itu filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa turut tercalon dengan 13 pencalonan. Antaranya, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa

Tidak ketinggalan, filem Juang turut tercalon sebanyak 10 pencalonan dan diikuti filem Abang Long Fadil 3 dengan sembilan pencalonan.

Filem Juang

Majlis pengumuman bagi semua kategori itu diadakan pada sidang media kedua FFM32 di Hotel Swiss Garden, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, petang tadi.

Majlis tersebut dianjurkan bagi memberikan penerangan dan maklumat terperinci berkenaan dengan persiapan penganjuran FFM32 yang bakal diadakan pada 2 Disember ini di Encore, Melaka.

Bertemakan Filem Kita, Citra Kita, FFM32 akan dihoskan oleh Awal Ashaari dan Che Puan Sarimah Ibrahim dan akan disiarkan secara langsung di TV2, pukul 9 malam.

Barisan artis seperti Datuk Zainal Abidin, Siti Nordiana, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha dan Hazama akan mengisi slot persembahan pada malam kemuncak itu.

Antara penyampai trofi adalah Maya Karin, Namron, Faizal Hussein, Zul Ariffin, Ummi Nazeera, Hairul Azreen, Adrian Teh dan Ashraf Muslim.