hukum guna air mustakmal

“Keliru saya, ada yang kata tidak sah wuduk kalau guna air musta’mal. Tapi ada juga yang kata boleh. Jadi mana satu yang betul ni?” getus seorang sahabat.

Apa dia air musta’mal? Bolehkah ia digunakan untuk bersuci seperti berwuduk atau mandi wajib? Bagaimana pula jika air itu digunakan untuk basuh baju, memasak dan kegunaan lain?

Sebelum kita membahaskan tentang air musta’mal, perlu kita faham dahulu dari segi bahasa musta’mal adalah sesuatu yang telah digunakan.

Jadi dari segi istilah menurut pandangan ulama Syafie ialah air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas yang fardu seperti hadas kecil (berwuduk) atau hadas besar (mandi wajib). Siraman pertama ketika mengangkat wuduk dan jatuh dari anggota badan, itulah air musta’mal. Manakala untuk siraman yang kedua atau ketiga (yang sunat) tidak dianggap air musta’mal.

Terdapat tiga pendapat dalam menjelaskan tentang hukum air musta’mal iaitu pertama ia tidak bersih untuk berhadas. Menurut qawl jadid, air musta’mal adalah suci (bersih) tetapi tidak menyucikan (ia tidak boleh digunakan untuk berwuduk atau mandi wajib). Dan ia juga tidak boleh digunakan untuk membersihkan atau menghilangkan najis.

Pun begitu untuk digunakan dalam situasi yang lain seperti membasuh, mandi yang bukan mandi wajib, siram pokok atau lainnya yang bukan bersifat ibadah, maka ia suci dan boleh digunakan.

Pendapat kedua, makruh menggunakan air musta’mal. Pandangan ini terhasil dari Imam Abu Hanifah dan ulama yang satu laluan dengannya seperti Muhammad bin Hassan as-Syaibani. Mereka tidak menggalakkan penggunaan air tersebut.

Manakala pandangan ketiga ia boleh digunakan kerana ia tiada perbezaan antara air mutlak dengan air musta’mal terutama dari segi rasa, bau dan warna. Jadi pendapat ini boleh menggunakan air musta’mal untuk berhadas.

Boleh atau tidak?

Adapun pandangan pertama yang melarang penggunaan air musta’mal untuk berhadas ini diambil dari sahih Bukhari dan Muslim. Diriwayatkan “Nabi s.a.w. telah menziarahi Jabir yang sedang sakit menjelang mati, lalu Baginda s.a.w. mengambil wuduk dan memercikkan air wuduk itu ke arah Jabir.”

Manakala dalam kisah yang lain, meskipun kekurangan air para sahabat tidak mengumpulkan air musta’mal untuk digunakan lagi. Sebaliknya mereka bertayamum dan mereka juga tidak mengumpulkannya untuk diminum kerana air itu menjijikkan.

Bahkan dalil dari Abu Hurairah ini juga turut digunakan untuk berhujah bahawa Baginda s.a.w. bersabda,

“Janganlah salah seorang dari kalian mandi di air yang tidak mengalir. Sedangkan ia sedang junub”. Kemudian perawi bertanya kepada Abu Hurairah r.a. “Lalu seharusnya bagaimana? Jawan Abu Hurairah, “Seharusnya ia menciduk”. (HR Bukhari & Muslim)    

Adapun air musta’mal yang sedikit yang bercampur dengan air mutlak adalah dimaafkan. Oleh sebab itu jika air musta’mal dikumpulkan sampai dua kolah maka sifatnya yang menyucikan akan kembali lagi selagi mana sifatnya tidak berubah seperti berubah warna, bau dan rasa. Dan ini adalah pendapat yang paling sahih.

Kadar minima untuk dua kolah menurut ulama terkini adalah sekitar 160 liter. Dan jika air mutlak dalam anggaran 160 liter itu dimasuki oleh seseorang dengan niat untuk berhadas samada kecil atau besar maka air tersebut menjadi air musta’mal.

Tetapi jika ia masuk dalam kolah itu dengan niat selain berhadas maka air tersebut tetap menjadi air mutlak. Dalam situasi ini, niat memainkan peranan penting dalam menentukan sifat air tersebut samada mutlak atau menjadi musta’mal.

Dalam pada itu jika kita lihat pandangan Dr. Wahbah Zuhaili dalam kitab Fiqih Islami wa Adillatuhu, air musta’mal sedikit yang bercampur dengan air lain adalah dimaafkan kerana Baginda s.a.w. dan para sahabatnya berwuduk di dalam mangkuk dan mandi dalam baldi yang besar.

Baginda s.a.w. juga pernah mandi di dalam satu bekas air bersama Aisyah r.ha dan tangan mereka bergiliran menceduk air. Masing-masing dari mereka berkata, “sisakan untukku”. Dalam keadaan seperti itu sudah pasti percikan titisan air mandi ke dalam bekas air tidak dapat dielakkan.

Tetapi jika percikan yang jatuh ke dalam bekas air itu banyak dan menyebabkan rosak maka tidak boleh berhadas dengan menggunakan air itu. Ini menurut riwayat yang rajih. Dalam hal ini menurut pandangan jumhur ulama Syafie, Hanafi dan Hambali bersetuju bahawa air musta’mal suci namun tidak boleh mensucikan.

Adapun ulama Malikiyah menyelisihi jumhur dengan mengatakan bahawa air tersebut tetap boleh menyucikan, namun makruh hukumnya jika sebenarnya ada air lain yang bukan musta’mal.  

Pendapat yang menyucikan  

Sementara itu bagi pandangan ketiga pula air musta’mal boleh digunakan untuk bersuci. Kesimpulan ini diambil berdasarkan hujah dalil yang banyak berkaitan dengannya, antaranya adalah Abu Juhaifah r.a. berkata,

“Rasulullah s.a.w. pernah keluar bersama-sama kami ketika waktu tengah hari, lalu dibawakan air kepada beliau untuk berwuduk dan beliau pun berwuduk dengannya. Kemudian para sahabat mengambil sisa-sisa wuduk Baginda lalu mengusapkan (berwuduk) dengannya” (HR Bukhari)

Selain itu terdapat hadis lain, “Abdullah bin Zaid pernah ditanya tentang wuduknya Nabi s.a.w. Lalu beliau minta diambilkan satu gayung air, beliau pun memperlihatkan kepada mereka cara berwuduk Nabi s.a.w. Beliau menuangkan air dari gayung ke telapak tangannya lalu mencucinya tiga kali.

Kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas mengambil air, beliau berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas mengambil air lalu membasuh mukanya tiga kali dengan air yang sama” (HR Bukhari)

Jadi hadis-hadis ini menerangkan bahawa Baginda s.a.w. telah menggunakan air yang telah digunakan pada anggota badan untuk bersuci. Di situ juga ada yang menyimpulkan bahawa sifat air mutlak tidak akan berubah dengan terkenanya salah satu dari anggota badan anak Adam. 

Bahkan al-Qurtubi menyatakan air musta’mal adalah seperti air mutlak. Itu kerana secara kebiasaannya tidak akan berubah sifat suatu air dengan terkena salah satu anggota tubuh manusia.

Solusi yang tepat

Walaupun di situ ada pelbagai pandangan, namun ramai yang keliru mana yang harus diikut, sama ada pandangan yang melarang atau membolehkan?

Adapun kita sebagai umat Islam yang berpegang dengan mazhab Syafie, kita perlu mengikut jalur mazhab ini.

Itu kerana pandangan yang membolehkan air musta’mal digunakan walau kurang dua kolah sebenarnya adalah termaktub pada mazhab yang lain. Kita perlu jelas, sesuatu hukum feqah itu terhasil dengan mengambil kira situasi, adat dan keadaan sesuatu tempat.

Jika tempat tersebut tidak mempunyai sumber air yang banyak bahkan untuk mendapatkan air mutlak juga susah seperti di negara Sudan atau negara beriklim sejuk seperti kutub utara atau selatan, maka pandangan ketiga sangat sesuai diamalkan.

Akan tetapi realitinya di Malaysia, sumber air begitu banyak maka pandangan pertama adalah lebih sesuai.  Dan katalah berlaku krisis air di Malaysia, untuk dapatkan air mutlak sangat susah maka di situ pandangan ketiga boleh kita gunakan selagimana sumber air terhad.

Analoginya mudah dan kita pun sudah mengamalkannya seperti hukum bersentuhan lelaki dan wanita yang bukan mahram. Dalam mazhab Syafie, apabila bersentuhan antara bukan mahram maka batal wuduk atau solatnya.

Sedangkan jika kita mengerjakan ibadah haji atau umrah, bersentuhan antara bukan mahram tidak membatalkan wuduk. Itu kita berpegang dengan mazhab yang lain. Jadi samalah juga hukumnya dalam isu air musta’mal ini.

Dr. Yusuf al-Qardawi turut berhujah, kesucian air musta’mal bukanlah semuanya mutlak. Ia hendaklah dilihat sejauh mana cara air itu menjadi musta’mal. Dan mengambil kira keadaan kesihatan semasa.

Jika ada penyakit yang menular maka hendaklah dihindarkan air musta’mal tersebut. Itu kerana pada zaman dahulu seseorang menggunakan air dengan menyelam mukanya ke dalam besen, berkumur dan mencuci hidung.

Syeikh Abdurrahman Nashir as-Sa’di pula mengatakan, air musta’mal yang sudah digunakan untuk menghilangkan najis, jika ia berubah sifatnya (oleh najis) maka ia berstatus najis. Dan tidak boleh digunakan untuk bersuci.

Kesimpulan dari kedua tokoh ulama ini juga mengambil kira keadaan dan situasi semasa. Dan itulah sebenarnya dasar hukum feqah. Jika tidak masakan Imam as-Syafie turut mempunyai dua pandangan yang berbeza iaitu Qawl Qadim dan Qawl Jadid. Wallahu a’lam

______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram