Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR BERNAMA

TIADA sebarang pertemuan tertutup dijalankan di antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS, semalam.

Perkara itu ditegaskan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menafikan bahawa ada pertemuan berlangsung di sebuah kelab golf di Petaling Jaya, Selangor.

Sebaliknya Ismail Sabri menyifatkan, segala tindakannya kini disalah tafsir sehingga dianggap sebagai pengkhianat jika bertemu dengan rakan-rakan dari PAS.

Katanya lagi, sementara pihak yang bertemu dengan pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.

“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang itu. Tengok senarai nama itu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

“Hari ini nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Baca artikel lain: PM terima kunjungan Premier Sarawak

Sepuluh pemimpin BN dan PAS dilaporkan terlibat dalam pertemuan itu.

Antara yang dilaporkan hadir adalah Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan bekas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Ismail Sabri menjelaskan hanya menghadiri majlis perpisahan bekas kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri (PMO).

Katanya lagi, tetapi terdapat juga fitnah yang mengatakan bahawa beliau bersama Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Sekarang ini, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi Perdana Menteri, pemimpin UMNO memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan UMNO,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram