SHIRAZ Project dengan bangganya mempersembahkan Shreya Ghosal Live In Kuala Lumpur yang akan menemui peminat pada 10 Disember ini di Dewan Plenari, KLCC, pukul 8 malam.

Terkenal sebagai penyanyi lagu-lagu runut bunyi (OST) dan album, penampilan perdana Shreya pada 2020 telah menambat hati para peminat di Kuala Lumpur. 

Apatah waktu itu, Shreya berjaya menyanyikan lagu Cindai, nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan baik sekali.

Shreya, penyanyi terkenal berusia 38 tahun telah merakamkan OST dan album dalam pelbagai bahasa India dan menjadikan dirinya sebagai penyanyi playback utama di industri filem India. 

Sepanjang kerjayanya, Shreya telah dicalonkan sebanyak 494 kali dan memenangi 150 anugerah termasuk empat National Film Awards, empat Kerala State Film Awards, dua Tamil Nadu State Film Awards, tujuh Filmfare Awards, enam Penyanyi Playback Wanita Terbaik dan 10 Filmfare Awards South.

Shreya membuat kemunculan pertama dalam nyanyian Bollywoodnya melalui filem drama romantik Bhansali, Devdas (2002) yang mana dia telah menerima National Film Award untuk Penyanyi Playback WanitaTerbaik.

Selain nyanyian playback, Shreya muncul sebagai juri di beberapa rancangan realiti televisyen. 

Penyanyi yang serba boleh ini mempunyai repertoire yang luas merangkumi beberapa genre termasuk pop, klasik, ghazal dan bhajan.

Menurut Shirazdeen Karim selaku Pengarah Urusan Shiraz Projects, selain memberikan hiburan dan konsert daripada artis tempatan dan Indonesia, pihaknya memang berhajat untuk membawakan konsert- konsert Bollywood di Kuala Lumpur khususnya.

“Kita tahu bahawa di Malaysia memang ramai peminat Bollywood. Mereka bukan sahaja meminati filem-filem tetapi juga menghafal setiap lagu yang ditampilkan dalam filem-filem kegemaran mereka. 

“Jadi, Shiraz Projects ingin meraikan momen ini dengan membawakan Shreya Goshal, penyanyi yang memang dikenali dengan suara lemak merdunya dan sering tampil menyanyikan OST terkenal Bollywood,” ujar Shiraz.

Tiket-tiket dijual dengan harga RM 1500 (VIP), RM600 (Diamond), RM500 (Platinum), RM300 (Gold) dan RM200 (Silver). 

Peminat boleh menghubungi talian +603 86050196/ +601 22560082 untuk pertanyaan tentang tiket.