FILEM Remp-it yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri pada 2006, kini kembali dengan aksi yang lebih padat dan matang.

Jika Remp-it (2006) memaparkan sebuah filem aksi sesuai zaman tersebut, Remp-it 2 kali ini menitikberatkan kandungan yang lebih matang dan menjadi sebuah filem aksi sesuai ditonton pelbagai lapisan masyarakat dan diklasifikasikan sebagai P13 oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Remp-it 2 merupakan sambungan dari Remp-it (2006) namun, dengan kecanggihan teknologi penggambaran sekarang, semua aksi perlumbaan berlaku di siang hari.

Penonton dapat menyaksikan aksi perlumbaan tersebut dengan lebih jelas. Remp-it 2 juga mengetengahkan pelbagai jenis motosikal daripada pelbagai kategori termasuk motosikal biasa seperti Y15, RS, RXZ, 12Z, motorcross, cub prix sehinggalah ke superbike.

Elemen motosikal digerakkan oleh elemen-elemen persahabatan dan kekeluargaan membuatkan Remp-it 2 sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

FKX Film menujukan filem ini kepada legenda-legenda sukan permotoran Malaysia yang telah banyak mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Perjuangan mereka tanpa mengenal erti jemu dan sehingga sampai mempertaruhkan keselamatan dan nyawa mereka sendiri.

Seperti pejuang tanah air yang lain, mereka juga perlu diraikan dan kisah hidup mereka juga perlu difilemkan. Remp-it 2 merupakan salah satu usaha daripada penerbit dalam jangka masa panjang boleh melahirkan pelumba-pelumba yang mampu mengharumkan lagi nama negara di dalam arena permotoran.

Filem Remp-it 2 yang menjalani penggambaran pada hujung 2019 ini terpaksa menunggu lebih lama untuk menemui penonton disebabkan pendamik Covid-19 yang melanda dunia.

Filem ini diterbit dan diarahkan oleh Farid Kamil selain bertindak sebagai pelakon utama disamping barisan pelakon seperti Cat Farish, Ahirine Ahirudin, Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Zaidi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Chiwan Chilok, Mamak Puteh, Rudy GTB, Gabit Saleh, Shahkimin serta penampilan sulung Muhammad Kamil a.k.a Che Mad yang telah memberi mutu lakonan yang meyakinkan pada usia 7 tahun.

Sebagai pengarah, sudah tentu Farid menyimpan harapan tinggi untuk penonton hadir ke pawagam dan memberikan sokongan kepada karya tempatan.

“Pastinya harapan saya agar lebih ramai penonton pergi menonton filem ini di pawagam kerana ia sangat dekat dengan golongan pencinta motosikal.

“Kepada peminat dunia permotoran, dalam filem ini kami ada paparkan semua jenis motosikal, daripada motosikal kapcai sehinggalah ke superbike serta offroad. Saya percaya filem ini juga mampu memberi kepuasan kepada semua penonton,” katanya.

Penggambaran yang dilakukan selama 55 hari di lokasi-lokasi yang dipilih sesuai dengan jalan cerita termasuk Ulu Choh Johor, Melaka, Gong Badak Terengganu, Sungai Lembing Pahang, serta sekitar Lembah Klang termasuk Litar Antarabangsa Sepang.

Kepada semua peminat dunia permotoran dan filem Malaysia, Remp-it 2 sudah mula ditayangkan bermula 24 November.