BARISAN Nasional (BN) memberi jaminan akan menyokong usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat sebaik sahaja Parlimen dibuka pada 19 Disember depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul undi percaya itu berdasarkan prinsip menjunjung titah menghormati pelantikan Perdana Menteri Ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut beliau, ia juga untuk memuktamadkan keabsahan Perdana Menteri dan pihak yang cuba mempertikaikan keputusan itu akan senyap.
Walaupun ada pihak mengatakan sebagai langkah berisiko, namun Ahmad Zahid berkata, itu merupakan proses demokrasi yang perlu dilalui.
“BN akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan Perdana Menteri Ke-10.
Kata beliau, BN menjunjung titah Seri Paduka dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu serta parti.
Baca artikel berkaitan: Anwar arah semua anggota Kabinet berjimat
“BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama.
“Tidak perlu lagi pihak mempertikaikan keputusan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara. Janganlah umpama rumah siap, pahat berbunyi.
“Marilah kita sama-sama menjunjung titah dan menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perlembagaan.
“Kita perlu bergerak ke depan dan bersama-sama membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan,” jelas beliau.
Pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pembentangan usul undi percaya adalah antara agenda sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.
Katanya, usul percaya itu bakal membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadapnya, sekali gus memperkukuh kestabilan kerajaan perpaduan, yang merangkumi PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan (WARISAN), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram