PADA awalnya, kepulangan Cristiano Ronaldo dialu-alukan oleh penyokong Manchester United yang sanjungi beliau kerana memberikan mereka memori indah ketika memenangi Champions League pada 2008 namun untuk para ‘realist’, homecoming beliau bukannya seindah itu.

Untuk satu lagi kumpulan penyokong United, pembelian Ronaldo tidak sesuai dengan keadaan semasa kelab ketika itu. United secara jelasnya memerlukan seorang midfielder dan bukannya seorang penyerang tetapi motif untuk pembelian si Portugis itu tertulis, “kapitalisme”,

Roy Keane juga berpendapat yang sama dengan menyatakan Ronaldo hanya pulang sebagai strategi pemasaran; satu cara untuk membuat duit untuk the Glazers.S udah tentunya ia berhasil dengan kedai serbaneka Manchester United penuh dengan penyokong yang ingin mendapatkan baju nombor 7 yang terkenal dalam dunia bola sepak tetapi kini ‘aset’ terbesar mereka ‘meletup’ depan muka sendiri.

Temu bual Ronaldo bersama Piers Morgan menjadi isu yang hangat dalam media sosial dengan nama kedua-dua manusia ini trending di Twitter dengan lebih 1 juta tweet dan apa yang diperkatakan dalam klip-klip tersebut mencetuskan pelbagai emosi dalam kalangan penyokong Manchester United.

T etapi jika difikirkan sebenarnya, tiada siapa yang rugi dalam situasi ini.

Dalam temu bual itu Ronaldo berbincang tentang isu dalaman Manchester United dan kenapa beliau tidak bermain dengan baik – tanpa menyalahkan diri sendiri.

Ronaldo menegaskan kemudahan-kemudahan yang sudah lapuk, teknologi lama dan berkata tiada perubahan  sejak beliau dan Sir Alex Ferguson meninggalkan kelab.

Kenyataan ini disokong oleh penyokong Manchester United dan bersetuju dengan legenda mereka menegur pengurusan kelab yang boleh membeli pemain sehingga RM500 juta namun tidak boleh menambah baik Carrington untuk keselesaan semua.

Ronaldo juga dipuji kerana mengutuk musuh ketat nombor satu penyokong, Joel dan Avram Glazer secara terbuka dengan berkata pemiliik-pemilik United itu tidak peduli langsung tentang kelab dan hanya menggunakan United sebagai cara membuat duit tetapi ayat-ayat ‘perjuangan’ beliau seolah-olah dibazirkan.

Sebelum kenyataan  ‘heroic’ Ronaldo atas dasar kebaikan kelab dan penyokong untuk mengetahui kebenaran, beliau membuat keputusan untuk berkata beliau tidak menghormati Erik Ten Hag dan juga bekas rakan sepasukannya, Wayne Rooney dan Gary Neville – yang secara terbuka menegur Ronaldo kerana tidak bersikap profesional.

“Mereka bukan kawan saya. Saya tidak akan ajak mereka datang rumah untuk makan-makan”, kata Ronaldo.

Gary Neville kelihatan tidak peduli dengan kenyataan tersebut selepas menghantar kepada laman Twitter beliau, “Ada sesiapa yang nak makan malam dengan saya? “ sementara Wayne Rooney berkata beliau tidak akan memberikan sebarang komen.

Ronaldo berkata Rooney hanya mengkritik beliau kerana beliau “lagi kacak dan masih bermain pada tahap yang tinggi”. Kenyataan itu membuat penyokong di serata dunia terkejut dengan betapa tidak matang dan besarnya ego beliau sehingga mengutuk rupa orang lain semata-mata dikritik.

Sudah tentunya niat Ronaldo untuk temu bual ini ialah untuk membakar segala hubungannya bersama Manchester United. Tujuan beliau untuk mengutuk Ten Hag memberikan hasil yang diinginkan dan tindakannya itu menyebabkan United akhirnya dapat melepaskan Ronaldo.

Sebaik sahaja Ronaldo berkata beliau tidak menghormati Erik Ten Hag, Ronaldo bukan sahaja memusnahkan hubungannya bersama kelab tetapi juga bersama penyokong.

Beliau berang selepas pihak kelab tidak menunjukkan perasaan selepas bayi baru lahirnya demam namun Ten Hag sudah berkata kepada pihak media bahawa Ronaldo tidak akan bersama mereka ketika pra-musim atas sebab peribadi dan pihak Ronaldo juga dilaporkan “puas hati” dan bersyukur dengan cara warga Belanda tersebut menguruskan situasi tersebut.

Penyokong berkata mereka tidak faham maksud Ronaldo apabila beliau berkata Ten Hag sedangkan ketika pihak media bertubi-tubi cuba menyerang Ronaldo, jurulatih tersebut menegaskan beliau ingin menjaga legasi Ronaldo dan mahu membina pasukan bersama pemain veteran itu.

Namun selepas dijadikan ketua pasukan, Ronaldo membelot Ten Hag dan mengadu kepada Piers Morgan – antara narsisis terbesar Britain kerana beliau tidak boleh menerima yang Manchester United bermain jauh lebih baik tanpa dirinya.

“Aku nak mintak satu je minggu yang normal sebagai penyokong Manchester United tak boleh ke?”, kata hampir semua orang di Twitter.

Penyokong dan kelab berhak untuk marah tentang sesetengah benda yang dicakap oleh Ronaldo tetapi jika kita mempertimbangkan situasi ini, ia mempunyai kebaikan untuk semua orang.

Musuh utama United ialah Joel dan Avram Glazer, yang telah mengkikis duit daripada kelab. Mereka membawa Ronaldo pulang dengan harapan bahawa perasaan nostalgia itu akan memberikan mereka lagi banyak keuntungan tetapi kini aset mereka mendedahkan keburukan lintah-lintah itu.

Ten Hag pula akhirnya ada sebab yang kukuh untuk menjual atau menyingkirkan kontrak Ronaldo. Beliau boleh membina skuad yang lagi sihat dan bebas daripada ‘player power’.

Ronaldo dilepaskan oleh United dan bebas untuk membodek kelab lain untuk membelinya.. tetapi selepas menunjukkan perangai sebegini, mungkin ia tidak semudah itu.

Perangai Primadona Ronaldo merupakan salah satu sebab kenapa beliau susah untuk berpindah keluar daripada Manchester pada musim panas yang lalu – termasuklah gaji dan umurnya.

Walaupun kelab lain berlapik dengan menyatakan beliau tidak sesuai dengan cara permainan mereka, kami semua boleh melihat alasan sebenar kenapa kelab-kelab besar menjauhkan diri dari pelanggan Jorge Mendes itu.

Ten Hag sudah mempunyai skuad yang walaupun tidak sempurna, mereka ingin berjuang untuk dirinya dan penyokong.

 Jelas bahawa Ronaldo hanya ingin berjuang untuk dirinya sendiri dan sebab itulah beliau antara pemain terbaik di dunia namun, itu bukan yang Ten Hag perlukan dan sikap tersebut juga sah-sah tidak digemari kelab-kelab lain.

Ini mungkin kali terakhir kita akan bercakap tentang Ronaldo dan hubungan basinya dengan kelab yang memberikan kepada beliau permulaannya dalam pentas bola sepak.

Penyokong dan Manchester United sudah pun mula ‘move on’ dari drama Ronaldo. Kini, tumpuan sepenuhnya akan diberikan dalam pencarian pemilik yang boleh menjaga legacy dan sejarah kelab Manchester itu.

Ronaldo akan tetap jadi Ronaldo, mengejar impian untuk dirinya sendiri tetapi Manchester United akhirnya akan dilepaskan daripada digenggam tangan keluaga Glazer yang kotor.

Perjuangan penyokong United selama 17 tahun tidak sia-sia dan ia tidak akan berhenti di sini.

Selamat tinggal, Ronaldo dan Glazers. Jangan datang lagi!

*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.