PELAKON Ungku Ismail Aziz meluahkan rasa kesal dan kecewa selepas ada sesetengah pihak menuduh dia mengambil kesempatan untuk mempromosikan diri ketika orang ramai lebih bimbang dengan keadaan kesihatan aktres Nad Zainal.

Keikhlasan Ungku,36, yang kerap berkongsi perkembangan terkini Nad sejak hari pertama dimasukkan ke hospital telah disalah anggap dan kisah cinta mereka pula lebih menjadi perhatian berbanding kiriman doa yang diminta.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sebab ubat kurus, buah pinggang Nad Zainal dalam keadaan baik , Mula tunjuk perkembangan positif, paras oksigen Nad Zainal meningkat ke bacaan 100 , Nad Zainal masuk ICU akibat jangkitan kuman pada paru-paru

“Assalammualaikum. Kecewa. Bila saya sentiasa ikhlas menyampaikan ‘update’ (perkembangan terkini) kesihatan Nad Zainal, ada pihak yang cuba ‘rephrase’ cakap saya, seolah-olah saya ini batak dan gelojoh tentang perhubungan dan kerja.

“Seolahnya saya mengambil kesempatan dari keadaan ini, untuk promosi diri dan kerja saya sehingga ada kenyataan menyentak perasaan, menukil persoalan tentang akal dan kematangan saya.

“Ada perkataan-perkataan yang saya tak ada sebut pun. Yang saya minta ‘push’ (tekankan) dengan ‘heading provoke’ (tajuk memprovokasi) semua untuk berdoa untuk Nad, hanya awalan sahaja. Pudar sudah, dijoloknya semua dengan hal peribadi yang tidak tepat dan ajakan berdoa itu menjadi ‘minor’ (kecil) dan irrelevant (tidak relevan).

“Ini sudah bukan apa yang saya mahukan untuk disebarkan tentang keadaan Nad. Nyawa dan kesihatan dia yang utama, keduanya emosi dan perasaan ahli keluarga, kawan-kawan dan beberapa pihak lain,” luahnya di Instagram Story.

Tambah Ungku Ismail, ketika ini bukanlah waktunya untuk bercerita tentang hubungannya dengan Nad.

Sebaliknya, dia mahu memfokuskan kepada kesembuhan Nad yang saat ini masih ditidurkan.

Jelasnya Ungku Ismail lagi, dia tidak akan lagi berkongsi dan memberi kenyataan mengenai perkembangan terkini Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin,32.

“Ini pasti bukan masanya untuk menjaja apa-apa cerita tentang hubungan dan kerjaya. 

“Ini waktu untuk memberitahu perkembangan terkini tentang kesihatan Nad. Dan saya yakin ini yang orang nak tahu bukannya benda merepek dan sensitif tanpa menghormati keperibadian masing-masing.

“Saya tidak akan memberi apa-apa ‘statement update’ (kenyataan terkini) lagi tentang keadaan Nad Zainal dan apa sahaja, sila rujuk pada sumber yang lain. Terima kasih,” tulisnya.

Ungku Ismail yang juga rakan gandingan Nad dalam drama Cina Buta turut memohon orang ramai terus mendoakan kesihatan dan kesejahteraan aktres itu kembali sembuh seperti sedia kala.