Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR IHSAN: Pejabat Perdana Menteri

PROSES pembentukan Kabinet akan dilakukan sesegera mungkin selepas Perdana Menteri berbincang dengan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau perlu mendengar pandangan daripada semua parti politik yang menyertai Kerajaan Perpaduan.

Kata beliau, hal demikian kerana saiz Kabinet yang lebih kecil berbanding sebelum ini.

“Sesegera mungkin (Kabinet dibentuk). Seperti mana saya sebutkan sebelum ini, Kerajaan Perpaduan ini melibatkan banyak parti.

“Sebelum membuat keputusan, saya mesti dengar semua pandangan kerana jumlah Kabinet itu dikecilkan.

“Kalau dulu masuk sahaja, 50 OK, 60 OK, 70 OK. Tak cukup lagi, duta khas, tak cukup lagi Penasihat Khas. Saya tak sanggup buat begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang pertama selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Baca artikel berkaitan: Perjumpaan sulung Anwar bersama warga JPM esok

Mengulas mengenai desakan ramai pihak supaya pemimpin yang terlibat dengan kes mahkamah atau disebut ‘kluster mahkamah’ tidak dilantik ke Kabinet, Anwar berkata, pandangan tersebut diambil kira dalam perbincangan.

“Itu pandangan semua kita ambil kira dalam perbincangan tapi seperti mana kita tahu dari segi undang-undang, hanya setelah ada hukuman (bersalah).

“Yang lain itu akan diberi pertimbangan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan tetap meneruskan agenda usul undi percaya pada Sidang Parlimen pada 19 Disember depan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu penting bagi menentukan keabsahan dan persepsi politik.

“Betul, Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) menggunakan pentafsiran Perlembagaan dan majoriti jelas (tidak perlu undi percaya) tetapi kita juga bincang tadi dan berpandangan ini bukan soal Perlembagaan.

“Saya fikir (ia melibatkan) keabsahan dan juga persepsi politik, (jadi) kita akan teruskan dengan undi percaya pada 19 Disember,” katanya.

Semalam, Ramkarpal dilaporkan berkata tiada keperluan untuk mengemukakan usul undi percaya terhadap Anwar bagi membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, ini kerana sudah jelas Perdana Menteri itu memperoleh majoriti besar melebihi 140 kerusi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram