Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diingatkan supaya menghentikan segala tindakan yang menyebarkan kebencian dan kepalsuan.

Pada masa sama, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil turut menasihati Abdul Hadi supaya mengingati titah Yang di-Pertuan Agong supaya merapatkan saf demi masa depan negara.

Menurut Fahmi, Abdul Hadi perlu membuat laporan polis sekiranya dakwaan bahawa DAP ‘mempromosikan’ agenda Islamofobia adalah benar.

Ia susulan tulisan Abdul Hadi dalam Minda Presiden di Facebook yang mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan Pas terus menjadi sasaran serangan fitnah DAP.

“Hentikanlah sebar kebencian dan kepalsuan.

“Jika benar DAP seperti apa yang dituduh, buat laporan polis. Biar pihak berkuasa ambil tindakan.

“Masa yang sama, ingat-ingatlah titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar kita semua rapatkan saf demi masa depan Malaysia tercinta. Jangan derhaka,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Baca artikel berkaitan: Pas terus jadi sasaran serangan fitnah DAP – Abdul Hadi

Terdahulu, Abdul Hadi dalam tulisannya mendakwa Pas terus menjadi sasaran serangan fitnah DAP apabila parti itu berjaya mencapai jumlah kerusi tertinggi dalam kalangan semua parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dakwa beliau, hal demikian terserlah apabila DAP melakukan fitnah terhadap Islam diibarat ‘membaling batu di tengah khalayak pada waktu siang hari yang terang’ khususnya terhadap Pas.

Abdul Hadi berkata, DAP tidak mengambil iktibar walaupun pernah berdialog bersama Pas bagi menjelaskan beberapa kekeliruan terhadap hukum Islam yang menjadi modal mereka memburukkan Islam dengan nyata.

Beliau turut mendakwa DAP sebagai melampau walaupun cuba ‘menipu’ dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam.

“Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia kepada mereka.

“Oleh itu, pada saat begini menunjukkan wajah DAP yang tersembunyi sebelum ini laksana hanya bertaubat saat terdesak.

“Bangkai yang terlalu busuk itu tidak boleh ditutup oleh tangan DAP yang bergelumang dengan najis walaupun mereka bertopengkan Melayu yang berwuduk dan disamaknya,” dakwa beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram